
ZAKAT PERNIAGAAN RM150,000, TANDA PRIHATIN KEPADA ASNAF MELAKA
KOTA LAKSAMANA 9 September – Komitmen sektor korporat menunaikan zakat terus memberi sinar kepada golongan memerlukan apabila RM150,000 zakat perniagaan diserahkan kepada Zakat Melaka untuk dimanfaatkan bagi agenda kebajikan dan pembangunan asnaf di negeri ini.
Sumbangan zakat tersebut diserahkan sebuah syarikat restoran makanan segera kepada Zakat Melaka pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Sumbangan Kepada Asnaf di Restoran Makanan Segera Pandu-Lalu Kota Laksamana, di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Zohaime Mohamad Sori berkata, komitmen sektor korporat menunaikan kewajipan zakat membuktikan peranan penting dunia perniagaan dalam menyumbang semula kepada kesejahteraan masyarakat.
Katanya, zakat bukan sekadar kewajipan agama, malah menjadi instrumen penting dalam membantu golongan memerlukan dan membina kesejahteraan ummah.
“Dalam konteks korporat, kejayaan sesebuah organisasi bukan sahaja dinilai daripada pencapaian dan keuntungan, tetapi juga sejauh mana kejayaan tersebut dapat dikongsi dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Pada majlis sama, seramai 50 penerima asnaf menerima Kotak Rezeki selain wang Wakalah Agihan Zakat sebanyak RM100 secara tunai bagi membantu meringankan keperluan dan perbelanjaan harian mereka.
Zohaime berkata, inisiatif berkenaan turut diserikan dengan pengagihan 1,800 pek set hidangan percuma kepada pelanggan, orang ramai dan komuniti setempat.
“Daripada jumlah itu, 800 pek diedarkan di Pandu-Lalu Kota Laksamana, manakala masing-masing 500 pek di Pandu-Lalu AMJ Bertam dan Pandu-Lalu MITC Melaka.
“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan sektor korporat dalam berkongsi rezeki serta mendekati komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu, Zohaime berkata, Zakat Melaka merekodkan kutipan zakat sebanyak RM145.1 juta pada 2025, meningkat 2.67 peratus berbanding RM141.3 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya, sehingga 31 Ogos lalu, jumlah kutipan zakat yang diterima Zakat Melaka mencecah RM88.14 juta.
“Diharapkan lebih banyak syarikat korporat, usahawan dan organisasi perniagaan di Melaka menjadikan zakat perniagaan sebagai sebahagian daripada budaya dan tanggungjawab organisasi.
“Selain menunaikan kewajipan, zakat yang disalurkan turut memberi peluang kepada kita untuk berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


