WRUR AYER LIMAU: RESAH SETIAP KALI RIBUT PETIR BERAKHIR, PENDAWAIAN ELEKTRIK UZUR DIGANTI BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER LIMAU 9 September – Risau berlaku litar pintas akibat pendawaian elektrik rumah yang sudah uzur, Muhammad Adlan Hanif Mohd Ghazali, 46, terpaksa menutup suis utama papan agihan (DB) setiap kali berlaku kejadian ribut petir.

Namun kini dia bersama isteri Syaidatul Nadia Azahar, 41, boleh menarik nafas lega apabila sistem pendawaian elektrik kediaman berusia lebih 40 tahun menjadi tempat mereka sekeluarga berteduh diganti baharu menerusi Program Masyarakat Di Hati MPAG 2026 bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau.

Muhammad Adlan berkata, bantuan daripada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) amat bermakna buat dirinya dan isteri berikutan perancangan untuk menggantikan sistem pendawaian sebelum ini kerap terbantut akibat kekangan kewangan.

“Bukan apa saya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di ladang kelapa sawit berhampiran, pendapatan bulanan tidak besar isteri pula melakukan kerja separuh masa dengan pendapatan tidak tetap. Pada masa yang sama kami perlu mengutamakan keperluan rumah dan belanja tiga anak masih bersekolah manakala seorang lagi sedang menuntut di universiti.

“Alhamdulillah MPAG membantu melegakan keresahan kami, kerana risau berlaku perkara tidak diingini saya akan pastikan semua suis ditutup ketika mahu meninggalkan rumah terutama apabila mahu pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ramuan China Kechil, di sini, pada Isnin.

Terdahulu program itu turut dihadiri Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Exco Kerja Raya, Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Setiausaha MPAG Radzyma Mahat.

Katanya, selain menggantikan sistem pendawaian elektrik warga MPAG juga bergotong-royong membersihkan halaman rumahnya daripada semak samun.

“Inisiatif ini mungkin dianggap kecil tetapi impaknya amat besar bagi golongan kurang mampu seperti saya, banyak perkara yang boleh diselesaikan dalam masa singkat apabila pemimpin negeri bersama agensi berkaitan turun padang berjumpa rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

250
Kongsi :
Previous post ZAKAT PERNIAGAAN RM150,000, TANDA PRIHATIN KEPADA ASNAF MELAKA
Next post SISA DAPUR JADI BAJA, BERPOTENSI JANA EKONOMI KELUARGA