ZIARAH KASIH DUN AYER LIMAU TAK KIRA MUSIM

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER LIMAU 9 September – Program ziarah kasih yang dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, bukan sekadar dilaksanakan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), sebaliknya menjadi rutin berterusan bagi memastikan kebajikan dan keperluan rakyat sentiasa diberi perhatian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program menyantuni rakyat itu dilaksanakan secara berkala kira-kira setiap dua bulan sekali selain turut diadakan kunjungan khas membabitkan golongan pesara.

“Ziarah kasih ini bukan bermula sempena WRUR atau akan terhenti selepas WRUR sebaliknya memang menjadi satu rutin kami di DUN Ayer Limau.

“Hampir dua bulan sekali saya akan susun atur untuk turun menyantuni rakyat malah turut diadakan ziarah kasih bertumpu seperti menyantuni bekas jururawat, bekas bomba dan bekas polis.

“Malah baru-baru ini juga saya telah mewakilkan isteri untuk turun menyantuni seramai 60 kaum wanita yang menghidap kanser dalam kawasan DUN Ayer Limau,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, sempena pelaksanaan WRUR DUN Ayer Limau pihaknya menerima berita gembira apabila hampir 40 permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat kelulusan.

“Kelulusan permohonan membabitkan bukan sahaja bantuan bulanan tetapi juga sumbangan peralatan dan pendidikan, alhamdulillah ini memberi kelegaan kepada permohonan meskipun terdapat sebahagian lagi masih menunggu.

“Selain itu untuk DUN Ayer Limau juga kita secara keseluruhan sudah menerima bantuan baik pulih sebanyak 70 buah rumah sejak awal tahun.

“Difahamkan masih ada tujuh atau lapan rumah lagi yang masih menunggu dan kita akan cuba usahakan peruntukan bantuan untuk membaik pulih kediaman-kediaman ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post WRUR AYER LIMAU: 80 PEMANCING SERTAI PERTANDINGAN MEMANCING UDANG GALAH SEPIT BIRU
Next post ZAKAT PERNIAGAAN RM150,000, TANDA PRIHATIN KEPADA ASNAF MELAKA