WRUR AYER LIMAU: 80 PEMANCING SERTAI PERTANDINGAN MEMANCING UDANG GALAH SEPIT BIRU

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER LIMAU 9 September – Seramai 80 pemancing mengambil bahagian dalam Pertandingan Memancing Udang Galah Sepit Biru bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) di Jeti Ramuan China Kechil, pada Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, acara itu adalah sebahagian daripada ‘pocket event’ disusun pihaknya bagi memeriahkan penganjuran Festival Sungai Melaka 2026.

Katanya, pertandingan itu juga adalah antara usaha berterusan PPSPM untuk membantu merancakkan ekonomi nelayan dan sektor pelancongan di semua daerah di Negeri Melaka.

“Pertandingan ini melibatkan 45 bot nelayan, secara tidak langsung membantu mereka menjana pendapatan sampingan. Alhamdulilah nelayan di Jeti Ramuan China Kecil, Telok Berembang, Sungai Timun dan sekitarnya memperoleh pelbagai manfaat hasil daripada program yang PPSPM laksanakan.

“Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu nelayan dan komuniti sungai agar terus maju,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan peserta pertandingan yang disempurnakan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Shaharul Azuar berkata, turut berlangsung pelepasan benih udang galah yang dijayakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Melaka, Japerun Ayer Limau dan komuniti nelayan Ramuan China Kechil

“Pada 12 September nanti akan berlangsung lebih banyak acara bersempena Festival Sungai Melaka di Jeti Telok Berembang,  jadi kepada penduduk sekitar dan orang ramai  datang beramai-ramai untuk memeriahkan program yang sudah disusun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

387
Kongsi :
Previous post ‘TAK PERCAYA TOK RAUF DATANG, MACAM MIMPI’
Next post ZIARAH KASIH DUN AYER LIMAU TAK KIRA MUSIM