WRUR AYER LIMAU: 3 SEKOLAH, 3 CARA BENTUK GENERASI MASA DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER LIMAU 10 September – Tiga sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau menerima pendekatan pendidikan dan advokasi berbeza menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), dengan fokus melindungi kanak-kanak, membentuk sahsiah remaja serta menyemai kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pendekatan berbeza itu dilaksanakan mengikut peringkat umur serta keperluan pelajar dan murid bagi memastikan mesej yang disampaikan lebih mudah difahami serta memberi kesan kepada mereka.

Katanya, Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Berembang menjadi lokasi Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China menerusi Program Sahsiah dan Adab anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri.

Sementara SK Ayer Limau pula ujar beliau, diadakan Program Ekspedisi Lestari anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Kesemua tiga sekolah menerima pendekatan berbeza yang pada saya kesemuanya penting bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat difahami pelajar dan murid mengikut peringkat umur serta keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Program Ekspedisi Lestari di SK Ayer Limau sempena Program WRUR DUN Ayer Limau, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Ts. Noramirul Nizam Kamis serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hameed berkata, tiga pendekatan berkenaan memberi penekanan kepada aspek berbeza, termasuk kesedaran mengenai risiko penganiayaan dan buli, pembentukan sahsiah serta adab dalam kalangan remaja dan kepentingan kelestarian alam sekitar serta tenaga hijau.

“Antara mesej yang disampaikan ialah risiko penganiayaan kanak-kanak dan kita mahu mereka memahami kepentingan mencegah buli. Dalam masa sama, aspek sahsiah, adab dan peradaban turut ditekankan ketika mereka meningkat remaja.

“Program terakhir pula memberi pendedahan kepada murid mengenai kepentingan kelestarian serta tenaga hijau,” katanya.

Menurutnya, program berbentuk ceramah, advokasi dan aktiviti ekspedisi itu memberi nilai tambah kepada pelajar dan murid menerusi pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah.

“Saya lihat anak-anak pelajar dan murid seronok serta memberi tindak balas yang sangat baik dan positif. Kita harap program ini benar-benar sampai kepada mereka.

“Kita mahu mereka faham kepentingan tenaga hijau dan pada masa sama membentuk sahsiah serta kesedaran mengenai isu sosial,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

855
Kongsi :
Previous post ANAK JATI MELAKA BAWA SUKAN TAEKWANDO BERSINAR DI BATAM
Next post ‘TERIMA KASIH TOK HAMEED SENTIASA BANTU RAKYAT’