
ANAK JATI MELAKA BAWA SUKAN TAEKWANDO BERSINAR DI BATAM
AYER KEROH 10 September – Dari Bukit Baru ke pentas antarabangsa, anak jati Melaka, Faiz Safry membuktikan sentuhan jurulatih tempatan mampu menggilap bakat atlet muda sehingga mencipta kejayaan di luar negara.
Faiz, 33, berjaya membimbing pasukan Hypermax Taekwondo Malaysia meraih 25 pingat termasuk 14 emas, enam perak dan lima gangsa pada Batam International Taekwondo Championship 2026 di Indonesia yang berlangsung selama empat hari dan berakhir 6 September lalu.
Lebih membanggakan, kejayaan itu turut menyaksikan Hypermax dinobatkan sebagai Naib Juara Keseluruhan Pasukan Profesional dan Pasukan Terbaik Kejohanan.
Bagi Faiz, pencapaian berkenaan bukan sekadar mengenai jumlah pingat yang diraih, sebaliknya menjadi bukti bahawa atlet muda Malaysia mempunyai potensi besar untuk bersaing di pentas antarabangsa.
“Apabila atlet diberi peluang bertanding di peringkat lebih tinggi, mereka belajar mengawal tekanan, membina keyakinan dan membawa nama negara dengan penuh tanggungjawab.
“Ini juga membuktikan atlet muda Malaysia mempunyai potensi besar untuk bersaing di pentas antarabangsa apabila diberikan bimbingan dan peluang yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, kejayaan pasukan itu turut didorong kerjasama erat antara atlet, jurulatih, ibu bapa dan seluruh keluarga besar Hypermax.
“Kami datang membawa nama Hypermax Taekwondo Malaysia dan pulang dengan membawa kebanggaan untuk negara,” katanya.
Tambah Faiz, pendedahan di peringkat antarabangsa amat penting dalam membentuk atlet yang bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal, malah berkeyakinan tinggi, berdisiplin dan mampu mengawal tekanan ketika beraksi.
Katanya, program latihan yang dilaksanakan turut memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah selain teknik dan strategi pertandingan.
Kejohanan berkenaan menghimpunkan kelab serta wakil dari pelbagai negara yang mempertandingkan kategori profesional dan amatur.
Antara atlet yang menyerlah ialah Muhammad Alif Zhafran Zaidi dari SMK Bandar Sungai Buaya apabila dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Kategori 12 hingga 14 Tahun selepas memenangi emas dalam acara Kyorugi Profesional.
Bagi kategori Kyorugi Profesional 15 hingga 17 Tahun pula, Ahmad Haris Danial Ahmad Nazri Ayu dari SMK Bukit Sentosa turut menyumbang emas buat Hypermax.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

