EKOSISTEM MELAKA DIGITAL TERUS BERKEMBANG

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Oktober – Bermula dengan Kampung Digital, ekosistem Melaka Digital akan terus diperluas kepada pelbagai aspek kehidupan rakyat termasuk pengurusan tanah perkuburan, institusi masjid, sekolah, pelesenan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan urusan perkhidmatan kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan pendigitalan berkenaan dibangunkan secara berperingkat bagi mewujudkan satu ekosistem yang mampu memudahkan urusan rakyat serta memperkemas penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Menurutnya, antara inovasi yang turut dicetuskan ialah Kubur Digital yang diwujudkan berdasarkan pengalaman peribadinya ketika menghadapi kesukaran mencari pusara nenek moyang.

“Apabila saya nak menelusuri dan menziarah kubur nenek moyang saya, saya tak dapat jumpa dah. Dulu mungkin kita tahu, tetapi bila kubur dah banyak dan kawasan dah besar, kita pun tak tahu.

“Jadi apa saya lakukan adalah membuat transformasi supaya semua kubur lama dan baharu ini dinomborkan dan ia akan memudahkan generasi akan datang untuk mencari pusara ahli keluarga,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, agenda pendigitalan Melaka turut diperluas dalam aspek pengurusan haiwan ternakan yang kini dilengkapi ‘tagging QR’ sekali gus mengatasi isu ternakan berkeliaran.

Pada masa sama, Melaka juga turut memperkenalkan identiti digital menerusi domain e-mel rakyat yang berfungsi sebagai saluran komunikasi yang berautoriti, pantas, berasaskan integriti serta selamat antara Kerajaan Negeri dengan seluruh rakyat Melaka.

Katanya, e-mel tersebut juga bakal diperluas kepada seluruh masjid, pegawai syarak dan ahli jawatankuasa masjid bagi tujuan pengimarahan majlis-majlis ilmu yang dapat sampai kepada rakyat.

Menurut Ketua Menteri, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada ekosistem Melaka Digital yang akan terus berkembang mengikut keperluan masyarakat dan perkhidmatan kerajaan.

“Inilah Melaka. Menerusi sistem Melaka Digital ini, di dalamnya ada banyak kaedah yang kita boleh membantu memakmurkan rakyat dalam kaedah dunia yang serba canggih.

“Bermula daripada Kampung Digital, selepas ini antara sektor lain yang akan turut didigitalkan ialah sekolah, urusan pelesenan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta lain-lain lagi, dengan pelaksanaannya sudah dimasukkan dalam perancangan sedia ada,” ujarnya.

Ab Rauf berkata, apabila masyarakat sudah mengadaptasi sepenuhnya sistem Kampung Digital, Kerajaan Negeri akan membawa perubahan kepada enakmen berkaitan bagi memastikan sistem alamat digital itu menjadi sebahagian daripada urusan rasmi kerajaan.

“Selepas enakmen ini, semua urusan dengan jabatan kerajaan, kalau tidak menggunakan alamat Kampung Digital, dia tak boleh berurusan. Jadi mereka kena tukar kad pengenalan. Bermula daripada itu, semua urusan-urusan dalam kad pengenalan ini telah pun didigitalkan secara automatik,” katanya.

Katanya, peluasan sistem itu dijangka menghasilkan impak besar apabila pelbagai perkhidmatan kerajaan dapat disepadukan dalam satu ekosistem digital, sekali gus menjadikan segala urusan lebih mudah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

615
Kongsi :
Previous post JEREBU: MENARA TAMING SARI BEROPERASI SEPERTI BIASA
Next post MeSRa: MELAKA PERKASA SYIAR ISLAM DI SEGENAP DIMENSI