JEREBU: MENARA TAMING SARI BEROPERASI SEPERTI BIASA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

TELOK MAS 17 Oktober – Menara Taming Sari meneruskan operasi seperti biasa sepanjang musim jerebu, namun tahap jarak penglihatan akan dipantau secara berterusan bagi memastikan keselamatan pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan berkata, operasi menara itu boleh diteruskan sekiranya jarak penglihatan masih berada pada tahap yang membolehkan perjalanan berjalan dengan selamat.

Bagaimanapun, katanya, operasi akan dihentikan sementara sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk sehingga menjejaskan jarak penglihatan.

“Jarak penglihatan antara satu hingga dua kilometer masih membolehkan operasi diteruskan, namun keadaan akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan tahap keselamatan semasa.

“Dari segi keselesaan, kabin menara dilengkapi pendingin hawa bagi memastikan pengunjung selesa. Namun, jarak penglihatan kekal sebagai faktor utama yang perlu dipantau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Mengedarkan Pelitup Muka Sempena Musim Jerebu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Jualan dan Pemasaran MTSB, Mohd Husni Husin dan Pengetua SMK Telok Mas, Zulkifli Mad Daud.

Nur Azan berkata, waktu operasi Menara Taming Sari kekal dari 9 pagi hingga 10 malam setiap hari, dengan waktu operasi dilanjutkan sehingga 11 malam pada Sabtu dan hujung minggu.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kakitangan dan pengunjung supaya mengambil langkah penjagaan kesihatan sepanjang musim jerebu, termasuk memakai pelitup muka dan memastikan pengambilan air yang mencukupi.

“Peringatan secara lisan juga diberikan kepada pengunjung di kaunter supaya menggunakan pelitup muka bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

379
Kongsi :
Previous post HITS PERNAMA RINGANKAN BELANJA DAPUR KELUARGA TENTERA