CALON BELUM PASTI, KHIDMAT KEPADA RAKYAT TIDAK TERHENTI

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SUNGAI RAMBAI 15 Oktober – Belum mengetahui sama ada bakal dipilih semula sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 tidak menghalang penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abdul Azis, daripada terus memberikan khidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, tanggungjawab sebagai wakil rakyat bukan bergantung kepada kedudukan atau peluang mempertahankan kerusi, sebaliknya berteraskan amanah untuk memastikan kebajikan masyarakat terus terbela.

Katanya, selagi belum ada pengumuman rasmi daripada pucuk pimpinan parti mengenai calon yang bakal mewakili DUN berkenaan, beliau akan terus menjalankan tanggungjawab seperti biasa selain membantu memperkukuh jentera parti.

“Selagi belum ada keputusan siapa calon, kita bertanggungjawab membantu parti. Ini bukti kita berkhidmat kepada rakyat.

“Kita berkhidmat untuk rakyat, bukan tunggu kalau saya dicalonkan barulah saya buat kerja. Tidak, keutamaan saya adalah kebajikan rakyat,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) Parit Putat, di sini.

Siti Faizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin berkata, sebagai anak jati Sungai Rambai, beliau memahami bahawa tanggungjawab kepada masyarakat perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen tanpa menjadikan soal pencalonan sebagai ukuran.

Katanya, beliau juga terbuka menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan parti dan menyerahkan penilaian terhadap prestasi serta khidmatnya kepada kepimpinan.

“Semasa menjadi wakil rakyat, saya sedar kerusi ini bukan untuk diwarisi. Kita perlu berfikiran positif dan terbuka.

“Sebab itu saya masih bekerja seperti biasa. Terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menilai hasil kerja yang sudah dilaksanakan.

“Apa yang kita mahu adalah memastikan Sungai Rambai kekal menjadi milik Barisan Nasional,” katanya.

Beliau menegaskan, keutamaan ketika ini adalah meneruskan khidmat kepada penduduk dan memastikan hubungan antara wakil rakyat dengan masyarakat setempat terus terpelihara, sementara keputusan rasmi mengenai calon PRN Melaka ke-16 ditentukan pucuk pimpinan parti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1611
Kongsi :
Previous post USAHAWAN BEG PAKU MELAKA DISARAN TEROKA PASARAN ANTARABANGSA