
‘TOK MAN’, ‘KAK INA’ ZIARAH KAMPUNG AGIH KIT MAKANAN UNTUK WARGA PANTAI KUNDOR
PANTAI KUNDOR 16 Oktober – Seramai lebih 400 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor bakal menerima manfaat menerusi Program Ziarah Kasih Barisan Nasional (BN) Masuk Ke Kampung-Kampung yang dilaksanakan bagi mendekati masyarakat setempat dan meringankan beban mereka yang memerlukan.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, sebanyak 440 kit barangan makanan diperuntukkan untuk diagihkan kepada penduduk menerusi kunjungan ke 22 cawangan BN di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, setiap cawangan akan menerima 20 kit makanan untuk disampaikan kepada golongan yang memerlukan, termasuk mereka yang berdepan masalah kesihatan serta penduduk yang belum pernah menerima bantuan seumpamanya.
“Menerusi program ini sebanyak 440 kit makanan diperuntukkan untuk diagihkan ke setiap cawangan, termasuk di sekitar Ayer Salak.
“Kita mengambil kesempatan pada waktu petang untuk turun menyantuni penduduk yang berdepan kesusahan dan diuji dengan masalah kesihatan, selain mereka yang belum pernah menerima sumbangan.
“Melalui program ini, kita bukan sahaja menyampaikan bantuan, malah dapat mendekati masyarakat dan mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Kampung Pengkalan Perigi, di sini, pada Khamis.
Program itu turut disertai penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.
Menurut Nor Azman, walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi, ia tidak menghalangnya daripada terus menyumbang kepada masyarakat dan membantu penduduk di kawasan berkenaan.
“Walaupun saya sudah tidak memegang jawatan, saya tetap mahu terus berjuang untuk menyumbang kepada masyarakat di seluruh DUN Pantai Kundor demi Barisan Nasional.
“Ini menggunakan perbelanjaan peribadi saya dengan kos dianggarkan kira-kira RM20,000 dan saya berharap sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


