JEREBU: MENARA TAMING SARI EDAR 1,000 PELITUP MUKA UNTUK PELAJAR

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TELOK MAS 16 Oktober – Menara Taming Sari terus mengangkat peranannya sebagai produk pelancongan prihatin apabila tampil membantu melindungi kesihatan pelajar menerusi pengagihan pelitup muka, sekali gus mencerminkan keprihatinan industri pelancongan terhadap kesejahteraan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif MTSB, Nur Azan Hassan berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan susulan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung pengoperasian sekolah ketika musim jerebu.

Susulan itu, jelasnya, sebanyak 1,000 pelitup muka diedarkan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas bagi mengurangkan risiko pelajar terdedah kepada jerebu ketika sesi persekolahan berlangsung.

Beliau berkata, langkah itu turut didorong oleh pemerhatian pihaknya terhadap sebahagian pelajar yang hadir ke sekolah tanpa memakai pelitup muka, sekali gus mencetuskan keperluan untuk membantu menyediakan bekalan berkenaan.

“Kita akan berusaha menambah bekalan pelitup muka mengikut keperluan, walaupun berdepan kesukaran mendapatkan stok di kedai susulan peningkatan pembelian oleh orang ramai.

“Inisiatif ini juga selaras dengan saranan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yang menggalakkan agensi Kerajaan Negeri membantu pihak sekolah mendapatkan bekalan pelitup muka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Mengedarkan Pelitup Muka Sempena Musim Jerebu di SMK Telok Mas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Jualan dan Pemasaran MTSB, Mohd Husni Husin dan Pengetua SMK Telok Mas, Zulkifli Mad Daud.

WhatsApp Image 2026 10 16 at 9.27.35 AM
NUR Azan semasa memberi pelitup muka kepada pelajar sekolah pada Program Mengedarkan Pelitup Muka Sempena Musim Jerebu di SMK Telok Mas.

Nur Azan berkata, MTSB turut memberi perhatian kepada sekolah di kawasan berkepadatan penduduk tinggi, termasuk Telok Mas dan kawasan sekitarnya, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan mengikut keperluan.

“Insya-Allah, MTSB juga akan mengusahakan peluasan sumbangan ini ke sekolah rendah, bergantung kepada keperluan dan bekalan yang tersedia.

“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu pelajar mengikuti proses pembelajaran dengan lebih selesa sepanjang musim jerebu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

468
Kongsi :
Previous post ‘TOK MAN’, ‘KAK INA’ ZIARAH KAMPUNG AGIH KIT MAKANAN UNTUK WARGA PANTAI KUNDOR