
MAJIKAN DI MELAKA BOLEH JIMAT FCLB 80 PERATUS SABTU INI
AYER KEROH 15 Oktober – Majikan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor berpeluang menikmati diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) menerusi Program i LINDUNG u Gegar @ Melaka di Dataran Keris, Alor Gajah, Sabtu ini.
Program anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang, dengan sasaran kehadiran sehingga 15,000 pengunjung.
PERKESO menerusi satu kenyataan memaklumkan, kemudahan diskaun itu bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan majikan, selain memastikan perlindungan keselamatan sosial pekerja terus terjamin.
“Langkah ini memberi ruang kepada majikan sekitar untuk meneruskan operasi perniagaan tanpa menjejaskan kebajikan pekerja, selari dengan komitmen PERKESO dan KESUMA membina ekosistem pekerjaan yang lebih mampan dan sejahtera,” menurut kenyataan itu.
Program berkenaan dijadual dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dan merupakan kesinambungan Festival Mega i LINDUNG u: KESUMA Bersama Rakyat yang berlangsung di Strand Mall, Kota Damansara pada September lalu.
Selain insentif kepada majikan, PERKESO turut menawarkan Geran Padanan Caruman LINDUNG Kendiri dengan subsidi 70 peratus kepada individu bekerja sendiri yang membuat caruman kali pertama dalam 17 sektor bukan mandatori.
Antara sektor terbabit ialah pertanian, perniagaan dalam talian, penternakan, perikanan dan kesenian.
Menurut kenyataan itu, individu bekerja sendiri yang memperbaharui caruman dalam sektor sama turut layak menikmati subsidi 50 peratus bagi membantu mengurangkan kos caruman serta meneruskan perlindungan keselamatan sosial.
PERKESO juga menyediakan kaunter khas bagi membolehkan pencarum yang sebelum ini memilih untuk keluar daripada skim LINDUNG 24 Jam menyertai semula skim berkenaan.
Pelbagai agensi di bawah KESUMA turut mengambil bahagian, antaranya Human Resource Development Corporation, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Talent Corporation Malaysia Berhad, Jabatan Tenaga Kerja serta Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia.
Penyertaan agensi berkenaan membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan di satu lokasi.
Program itu turut menampilkan pelbagai aktiviti, termasuk jualan makanan menerusi trak makanan, pertandingan fesyen bertemakan filem Melayu dan sukan rakyat seperti dam haji, karom, congkak serta batu seremban.
Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pencarian 20 asam pedas terbaik di Melaka, selain persembahan artis popular tanah air seperti Bell Ngasri, Zaki Yamani, Santesh, Amelina dan Haiza Hanafi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


