
PROJEK CENDAWAN KEM TERENDAK TERIMA PERUNTUKAN RM30,000
SUNGAI UDANG 15 Oktober – Projek Urban Farming Cendawan yang sedang dilaksanakan di Kem Terendak menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi meneruskan inisiatif keusahawanan dalam kalangan komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan itu diluluskan selepas beliau berpuas hati dengan pelaksanaan projek berkenaan yang menjadi antara inisiatif memperkukuh ekonomi keluarga anggota tentera.
Menurutnya, projek tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan keluarga anggota tentera menerusi pelaksanaan aktiviti ekonomi yang turut melibatkan komuniti Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).
“Saya ingin ucapkan tahniah kerana bagi Kem Terendak ini antara lain yang dilakukan ialah Urban Farming Cendawan.
“Atas sebab itulah kita puas hati dengan apa yang telah dilakukan dan kita akan luluskan sebanyak RM30,000 untuk teruskan program Urban Farming Cendawan yang sedang dilaksanakan di Kem Terendak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS@PERNAMA) di Kem Terendak, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Staf ATM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri; Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi dan Pengerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood serta tetamu kenamaan lain.
Projek Urban Farming Cendawan di Kem Terendak merupakan antara inisiatif keusahawanan di bawah Program Ekonomi MADANI ATM yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran serta peluang menjana pendapatan dalam kalangan keluarga anggota tentera.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


