KEUNTUNGAN PERNAMA DIKEMBALIKAN KEPADA WARGA ATM

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

SUNGAI UDANG 15 Oktober – Kementerian Pertahanan akan mengehadkan keuntungan Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) bagi memastikan manfaatnya dikembalikan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penawaran barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu bertujuan memastikan keuntungan yang dijana PERNAMA tidak hanya tertumpu kepada kepentingan perniagaan sebaliknya turut memberi pulangan secara langsung kepada anggota tentera dan keluarga mereka.

Menurutnya, PERNAMA masih perlu mencatatkan keuntungan munasabah bagi menampung operasi termasuk pembayaran gaji dan bonus pekerja, namun keuntungan yang besar sewajarnya dimanfaatkan semula untuk kebajikan warga ATM.

“Oleh kerana dia (PERNAMA) milik kita, kita akan hadkan keuntungan dia namun PERNAMA mesti jana keuntungan kerana ia mendorong mereka kerja lebih kuat, untuk bagi gaji yang baik serta memberi bonus.

“Tetapi dengan untung yang mereka buat besar, kita percaya untung itu dipulangkan balik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS@PERNAMA) di Kem Terendak, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Ketua Staf ATM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri, Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi dan Pengerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Datuk Seri Iskandar
Mizal Mahmood serta tetamu kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, keuntungan yang diperoleh PERNAMA boleh dimanfaatkan untuk menawarkan potongan harga tambahan kepada anggota dari semasa ke semasa, bergantung kepada prestasi jualan.

Katanya, semakin tinggi jumlah pembelian dalam kalangan warga tentera, semakin besar peluang PERNAMA menyalurkan semula manfaat tersebut kepada pelanggannya.

“Lagi tinggi dia punya penjualan, lagi baik pulangan itu akan diberi kepada anggota.

“Maknanya, kalau dia ada untung, sebulan sekali dia mungkin boleh turunkan lagi harga,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata usaha menawarkan barangan pada harga lebih rendah menerusi HITS@PERNAMA merupakan inisiatif dalaman Kementerian Pertahanan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan PERNAMA sendiri tanpa menggunakan peruntukan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau mahu PERNAMA mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga dalam pengendalian perkhidmatannya bagi mengelakkan kos tambahan yang akhirnya boleh mempengaruhi harga barangan kepada anggota.

Katanya, penglibatan pihak ketiga yang turut mengambil keuntungan boleh menyebabkan harga barangan menjadi lebih tinggi daripada yang sewajarnya dibayar oleh warga tentera.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

385
Kongsi :
Previous post PERUNTUKAN PROGRAM EKONOMI MADANI ATM DITINGKATKAN KEPADA RM1.5 JUTA
Next post PROJEK CENDAWAN KEM TERENDAK TERIMA PERUNTUKAN RM30,000