PERUNTUKAN PROGRAM EKONOMI MADANI ATM DITINGKATKAN KEPADA RM1.5 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SUNGAI UDANG 15 Oktober – Kementerian Pertahanan (MINDEF) meningkatkan peruntukan Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif ekonomi dalam kalangan keluarga anggota tentera.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peningkatan sebanyak RM500,000 itu diputuskan bagi memastikan program berkenaan dapat terus diperkasakan khususnya dalam usaha meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan ekonomi keluarga warga ATM.

Menurutnya, keputusan menambah peruntukan itu dibuat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan selepas melihat sambutan dan kehadiran ramai ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) pada majlis berkenaan.

“Jadi, kita harap melalui tambahan ini dan usaha-usaha kita dalam menjayakan program Ekonomi Madani ini akan kita terus mantapkan.

“Ini antara usaha kita untuk bantu soal-soal kesejahteraan dan juga soal pembangunan keluarga anggota-anggota kita pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS@PERNAMA) di Kem Terendak, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Staf ATM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri; Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi dan Pengerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood serta tetamu kenamaan lain.

Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif ekonomi merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kementerian dalam memastikan kesejahteraan warga tentera terus diberi perhatian, selain aspek kesiagaan aset dan anggota.

Katanya, pembangunan ekonomi keluarga turut memainkan peranan penting dalam membantu anggota ATM memberikan tumpuan terhadap tugas dan tanggungjawab mempertahankan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

405
Kongsi :
Previous post RM35,000 NAIK TARAF PRASARANA SRA JAIM KEM TERENDAK
Next post KEUNTUNGAN PERNAMA DIKEMBALIKAN KEPADA WARGA ATM