
GELANGGANG BAHARU JADI NADI AKTIVITI BELIA RUMAH AWAM PANTAI PERINGGIT
PENGKALAN BATU 16 Oktober – Gelanggang futsal dan sepak takraw baharu dijangka menjadi nadi baharu kepada aktiviti belia di Rumah Awam Pantai Peringgit.
Kemudahan riadah baharu itu secara tidak langsung mencerminkan aspirasi Kerajaan Negeri yang mahu melahirkan bakal pemimpin yang sihat dan cergas menerusi penglibatan aktif dalam aktiviti sukan.
Penduduk, Ang Siew Boon, 63, berkata kemudahan baharu yang siap dinaik taraf itu kembali hidup dan menarik perhatian anak muda untuk bersama-sama mengeluarkan peluh terutama pada waktu petang.
“Sebelum ini kemudahan yang ada agak daif, sekarang serba baharu semua tertarik, mahu bersukan juga sudah selamat. Saya tumpang gembira melihat ramai anak muda datang beriadah pada waktu petang.
“Orang muda datang bersukan kami yang sudah berusia meskipun cuma hadir untuk menyaksikan gelagat mereka itu sudah cukup menceriakan, suasana gelanggang ini kembali hidup,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia yang sudah 55 tahun menetap di perumahan itu berkata, akibat kemudahan sukan yang terhad sebelum ini anak muda lebih banyak menghabiskan masa dengan melepak tanpa melakukan sebarang aktiviti yang memberikan faedah kepada mereka.
Siew Boon berkata kemudahan itu juga secara tidak langsung dapat membendung anak-anak muda di perumahan itu daripada terjebak atau terbabit dalam aktiviti sosial.
“Semua ini adalah hasil sikap cakna dan keprihatinan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin, benar cuma bina gelanggang sahaja tapi manfaatnya besar buat kami semua,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Peringgit, Nor Halim Othman, 57, berkata kemudahan yang berwajah baharu dan lebih selamat untuk digunakan itu kini menjadi pusat aktiviti belia sekitar.
“Satu lagi perkara menarik dan menggamit anak muda datang ke sini adalah lokasi gelanggang yang terletak di tebing Sungai Melaka, kalau tidak bersukan mereka boleh beriadah.
“Diharapkan orang muda memanfaatkan sepenuhnya kemudahan disediakan, menerusi cara ini Peringgit juga tidak akan ketandusan bakar baharu dalam futsal dan sepak takraw, ini adalah medan mereka mengasah bakat yang ada,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


