ADA YANG BELUM SELESAI, TUMINAH MAHU TERUS BERKHIDMAT UNTUK PANTAI KUNDOR

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

PANTAI KUNDOR 16 Oktober – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bagi meneruskan agenda pembangunan serta menyelesaikan isu rakyat yang masih belum selesai.

Beliau berkata, beberapa manifesto yang dibawanya pada PRN lalu telah berjaya direalisasikan, termasuk penyelesaian isu pemilikan Tanah Belanda membabitkan 37 keluarga serta masalah pembekalan air bersih.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat beberapa perkara yang mahu diberi perhatian dan dilaksanakan demi memastikan kebajikan penduduk serta pembangunan di kawasan berkenaan terus terpelihara.

“Sudah tentu saya mahu mempertahankan kerusi DUN Pantai Kundor dan bertanding semula kerana masih banyak perkara yang mahu diselesaikan serta pembangunan yang mahu dibawa di kawasan ini.

“Namun, soal calon kita serahkan kepada pucuk pimpinan dan sebagai ahli parti, kita perlu menerima apa juga keputusan yang dibuat,” katanya.

Tuminah yang juga mantan Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Barisan Nasional (BN) Masuk Ke Kampung-Kampung di Taman Tanjung Kling, di sini, pada Khamis.

Program itu turut dihadiri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Mengulas persiapan menghadapi PRN, Tuminah berkata, keutamaan ketika ini adalah memperkukuh jentera parti bagi memastikan BN mampu mempertahankan kerusi DUN Pantai Kundor.

“Harapan kita satu sahaja, iaitu mahu menguatkan jentera BN sekali gus memastikan parti mampu menghadapi sebarang cabaran sepanjang tempoh PRN ini.

“Menerusi konsep Rumah Bangsa, kita berharap dapat menyatukan semula ahli yang pernah meninggalkan parti selain memperkukuh kekuatan jentera BN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post DODOL DARI MERLIMAU BAWA RASA MELAKA KE SHANGHAI