
DODOL DARI MERLIMAU BAWA RASA MELAKA KE SHANGHAI
MERLIMAU 16 Oktober – Dodol keluaran perusahaan tempatan, Dodol Ramlah, berpotensi menembusi pasaran antarabangsa apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung ketika menyertai ekspo di Shanghai, China, tahun lalu.
Pengalaman itu membuka ruang kepada perusahaan dari Merlimau berkenaan untuk memperkenalkan makanan tradisional Melaka kepada pengguna luar negara, khususnya menerusi perisa durian yang menarik perhatian pengunjung di negara berkenaan.
Pentadbir Sumber Manusia Dodol Ramlah, Nur Hidayah Ghazalli, 35, berkata, penyertaan pengurusnya, Siti Noramay Ayob, 43, dalam ekspo berkenaan merupakan pengalaman pertama syarikat memperkenalkan produk mereka secara langsung di luar negara.
Katanya, perisa durian menjadi antara tarikan utama apabila pengunjung yang pada awalnya kurang mengenali dodol mula berminat untuk mencubanya selepas mengetahui bahan utama yang digunakan.
“Maklum balas yang diterima sangat baik terutama untuk dodol durian kerana durian agak popular di sana. Apabila kita sebut durian, rata-rata mereka mahu mencuba dan berminat dengan makanan warisan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, pengalaman itu memberikan gambaran bahawa produk makanan tradisional tempatan mempunyai peluang untuk menarik perhatian pengguna baharu sekiranya diperkenalkan menerusi pendekatan yang bersesuaian dengan cita rasa pasaran sasaran.

Selain penyertaan dalam ekspo antarabangsa, Dodol Ramlah turut menerima pesanan daripada pelanggan di luar Melaka, selain memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Nur Hidayah berkata, proses memasak dodol kini dijalankan di kilang sewaan di Melaka Halal Hub yang dilengkapi mesin berskala lebih besar, manakala premis di Merlimau memberi tumpuan kepada kerja pembungkusan produk setiap hari.
Penggunaan kemudahan pengeluaran itu membantu menyokong operasi perusahaan berkenaan dalam memenuhi permintaan pelanggan, di samping mengekalkan kaedah penyediaan yang diwarisi.
Bagaimanapun, dia mengakui peningkatan kos bahan mentah menjadi antara cabaran utama yang perlu dihadapi kerana memberi kesan langsung kepada kos pembuatan dan harga jualan.
Katanya, pelarasan harga tidak dapat dielakkan apabila kos pengeluaran meningkat, meskipun tahap penerimaan pelanggan terhadap perubahan harga berbeza-beza.
Walaupun berdepan cabaran berkenaan, Dodol Ramlah terus mengekalkan resipi tradisional yang diwarisi bagi memastikan keaslian rasa produk berkenaan tidak terjejas.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

