
TOK MAN IKRAR BANTU ‘BIRUKAN’ PANTAI KUNDOR
PANTAI KUNDOR 17 Oktober – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berikrar mengetepikan perbezaan politik dalaman demi membantu Barisan Nasional (BN) merampas dan mengekalkan penguasaan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, November depan.
Nor Azman menegaskan kesetiaannya kepada UMNO dan BN tidak pernah berbelah bahagi, malah beliau bersedia memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang dipilih pucuk pimpinan parti bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
Katanya, beliau sebelum ini sudah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan bahagian dan sayap parti, selain bertemu penyandang kerusi DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim bagi menyelaraskan gerak kerja menghadapi PRN.
“Apa yang berlaku sebelum ini berkaitan politik dalaman, namun semangat dan jiwa saya serta keluarga tetap bersama UMNO.
“Saya sendiri sudah berjumpa Datuk Tuminah dan berbincang dengannya, begitu juga dengan semua sayap parti supaya kita dapat bekerjasama bagi memastikan kemenangan BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Barisan Nasional (BN) Masuk Ke Kampung-Kampung di Kampung Pengkalan Perigi, di sini, yang turut disertai Tuminah, pada Khamis.
Mengulas kemungkinan Tuminah dicalonkan semula, Nor Azman berkata beliau akan tetap memberikan sokongan dan membantu kempen bagi memastikan kemenangan BN di kerusi berkenaan.
“Sekiranya Datuk Tuminah dicalonkan dan bertanding semula, saya akan bersamanya. Itu memang janji saya. Begitu juga jika calon lain dipilih kerana saya sudah berikrar untuk membantu memastikan kemenangan BN.
“Malah, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin sendiri meminta saya membantu BN di Pantai Kundor,” katanya.
Sementara itu, Nor Azman berkata kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut menjadi antara faktor yang boleh membantu meningkatkan sokongan rakyat terhadap BN.
Katanya, pendekatan turun padang menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang memberi tumpuan kepada kebajikan serta penyelesaian masalah rakyat mampu mendekatkan kepimpinan Kerajaan Negeri dengan masyarakat.
“Walaupun pendekatan seumpama ini pernah dilaksanakan sebelum ini, inisiatif yang dibawakan Ketua Menteri berbeza dan menyentuh hati,” katanya.
Pada PRN Melaka ke-15, Nor Azman yang bertanding di kerusi DUN Pantai Kundor atas tiket Pakatan Harapan (PH) memperoleh 2,799 undi, namun tewas kepada calon BN, Tuminah yang meraih 3,960 undi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


