
DARI ALOR GAJAH, LAHIRNYA LEGASI SOS KUIH UDANG
ALOR GAJAH 17 Oktober – Bermula daripada permintaan pelanggan yang mahukan sos tambahan ketika menikmati kuih udang, resipi warisan arwah Baharudin Muhammad Tahir kini menjadi sumber rezeki keluarga yang diteruskan anak perempuannya, Mastura Baharudin.
Mastura, 32, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), mengambil alih pengurusan pengeluaran Sos Kuih Udang Alor Gajah selepas bapanya meninggal dunia pada 2023.
Biarpun berlatarbelakangkan bidang pengurusan hartanah, dia memilih untuk meneruskan perniagaan keluarga yang diasaskan bapanya pada 1979, sekali gus memastikan resipi dan identiti produk tempatan itu terus bertahan.
“Pada asalnya, perniagaan ini milik arwah ayah. Selepas ayah meninggal dunia, gerai diserahkan kepada abang, manakala pengurusan sos diserahkan kepada saya.
“Sebenarnya saya sudah mula membantu di kedai sejak habis SPM lagi. Saya bermula dari bawah dengan mencuci pinggan dan menjadi juruwang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, penglibatan dalam perniagaan keluarga berterusan sepanjang pengajian di universiti apabila dia menggunakan waktu cuti semester untuk membantu di kedai, berbanding mencari pekerjaan sambilan di tempat lain.
Selepas menamatkan pengajian, Mastura memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan itu, termasuk memastikan operasi pengeluaran berjalan lancar serta mengekalkan kualiti sos yang menjadi tarikan pelanggan sejak sekian lama.
“Walaupun ketika belajar, setiap kali cuti semester saya tetap membantu di kedai. Selepas tamat ijazah, saya terus bekerja sepenuh masa di sini.
“Kejayaan perniagaan ini banyak didorong oleh sokongan penduduk Alor Gajah. Sebagai balasan, kilang kami mengekalkan 100 peratus tenaga kerja dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.
DARI RUMAH KE KILANG
Perjalanan Sos Kuih Udang Alor Gajah bermula secara kecil-kecilan dari rumah sebelum berkembang ke sebuah gerai di Pasar Menggong, susulan permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Sokongan berterusan pengguna kemudian mendorong penubuhan rasmi syarikat pada 1999, sebelum kilangnya dirasmikan pada 12 April 2002 oleh Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, yang ketika itu memegang jawatan Ketua Menteri Melaka.
Perkembangan tersebut menjadi antara fasa penting dalam perjalanan perusahaan keluarga berkenaan daripada perniagaan kecil kepada pengeluaran yang lebih tersusun.
Namun, Mastura berkata, usaha mengembangkan jenama tempatan itu turut berdepan cabaran, khususnya untuk mendapatkan kepercayaan pengguna ketika bersaing dengan jenama sos yang lebih dikenali di pasaran.
“Cabaran utama adalah untuk bersaing dengan jenama sedia ada di pasaran. Kita juga perlu meyakinkan pelanggan tentang kualiti produk dan memastikan sos ini menepati cita rasa mereka,” katanya.

MILIKI SIJIL HALAL, MeSTI
Bagi mengekalkan keyakinan pelanggan, Mastura berkata, syarikat terus mengamalkan kaedah penyediaan yang diwarisi, termasuk mengekalkan sukatan bahan dan proses memasak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan.
Komitmen terhadap aspek keselamatan dan kualiti makanan itu turut disokong oleh pemerolehan pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) serta sijil halal.
Bagi Mastura, kesinambungan perniagaan itu bukan sekadar usaha mempertahankan sumber pendapatan keluarga, malah memastikan produk yang bermula daripada permintaan kecil pelanggan terus mempunyai tempat dalam pasaran.
Usaha tersebut turut memperlihatkan potensi perusahaan makanan warisan untuk terus berkembang apabila ilmu perniagaan, pengalaman dan resipi keluarga digabungkan dengan pengurusan yang lebih tersusun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


