KAMPUNG PULAU LAHIR 6 WAKIL RAKYAT, TOKOH-TOKOH HEBAT

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Oktober – Kampung Pulau mempunyai sejarah panjang dalam melahirkan tokoh kepimpinan yang menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara, termasuk enam individu yang pernah menjadi wakil rakyat.

Ketua Menteri yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, legasi kepimpinan yang bermula sejak generasi terdahulu itu perlu terus dipelihara dan diwarisi oleh anak cucu pada masa hadapan.

Beliau berkata, antara tokoh terawal yang mencorakkan sejarah politik kampung berkenaan ialah Allahyarham Abdullah Samad atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah Dolah, yang menjadi wakil rakyat pertama berasal dari kampung itu.

Menurutnya, legasi berkenaan diteruskan oleh generasi seterusnya, termasuk bekas Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai, yang turut berasal dari Kampung Pulau.

“Secara keseluruhannya, enam wakil rakyat dilahirkan di kampung ini sehinggalah ke kepimpinan saya pada hari ini yang bukan sahaja menjaga kampung ini dan DUN Tanjung Bidara, tetapi juga Allah SWT izinkan memimpin Melaka.

“Ini membuktikan Kampung Pulau mempunyai tradisi kepimpinan yang perlu kita banggakan dan pertahankan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Anak-Anak Kampung Pulau Teq dan Seri Jeram Tahun 2026 di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, keistimewaan Kampung Pulau bukan hanya terletak pada sumbangannya dalam bidang politik, malah turut melahirkan ramai individu berjaya dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam dan keselamatan negara.

Katanya, antara anak jati kampung itu yang mencipta kejayaan termasuk pegawai daerah, anggota tentera berpangkat tinggi serta pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Daripada kampung inilah lahirnya ramai tokoh yang menjadi insan berguna, sama ada dalam politik, perkhidmatan awam, ketenteraan mahupun pasukan polis.

“Ini membuktikan anak-anak Kampung Pulau mempunyai keupayaan untuk berjaya dan menyumbang kepada masyarakat, negeri serta negara,” katanya.

Beliau berkata, sejarah dan kejayaan yang dibina generasi terdahulu perlu dijadikan inspirasi kepada golongan muda supaya mereka terus berusaha, membina jati diri dan meneruskan perjuangan membangunkan kampung halaman.

Menurutnya, legasi berkenaan bukan sekadar kebanggaan terhadap pencapaian masa lalu, sebaliknya satu amanah yang perlu dipikul oleh setiap generasi bagi memastikan Kampung Pulau terus melahirkan pemimpin dan individu berwibawa pada masa hadapan.

“Perjuangan ini tidak boleh terhenti setakat generasi kita. Anak cucu kita perlu mengenali sejarah kampung sendiri, menghargai jasa mereka yang terdahulu dan meneruskan legasi ini demi masa depan Kampung Pulau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

709
Kongsi :
Previous post DARI ALOR GAJAH, LAHIRNYA LEGASI SOS KUIH UDANG
Next post KAMPUNG PULAU JADI RUJUKAN KAMPUNG DIGITAL, KUBUR DIGITAL NEGARA