
TOK RAUF KERAP TURUN PADANG, PASTIKAN BALAI NELAYAN SIAP IKUT JADUAL
TANJUNG BIDARA 16 Oktober – Perkembangan projek balai nelayan baharu Pasir Gembur, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, sentiasa dipantau oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Bendahari Persatuan Nelayan Pasir Gembur, Haron Safar berkata, sejak balai nelayan lama dirobohkan Ab Rauf dianggarkan sudah 10 kali turun padang meninjau perkembangan projek itu.
Haron, amat memuji keprihatinan Ab Rauf dalam memastikan apa yang dijanjikan dikotakan dan diterjemahkan dalam bentuk balai nelayan baharu yang kelak memberikan manfaat besar kepada 16 nelayan berdaftar di kawasan itu.
“Pada majlis rasmi memang Ketua Menteri diiringi wakil jabatan berkenaan, tetapi ada masanya belia datang sendiri, untuk melihat kerja-kerja pembinaan balai nelayan baharu.
“Terbaharu hari ini beliau sekali lagi datang meninjau perkembangan projek berkenaan sambil bertanyakan khabar komuniti nelayan yang ada. Pada perjumpaan kali ini Ketua Menteri berkata selagi belum siap, beliau akan lebih kerap turun padang untuk melihat perkembangan projek balai nelayan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Katanya, sikap Ab Rauf secara tidak langsung menggambarkan keperibadiannya yang tidak mensia-siakan harapan nelayan kerana sudah menunggu sejak sekian lama untuk mendapatkan kemudahan baharu itu.
“Permohonan mendapatkan balai nelayan bukan perkara baharu kerana sudah lama disuarakan, sebelum ini kerap berakhir dengan kekecewaan kerana apa diminta tidak lulus. Alhamdulillah sekarang sudah lulus dan pembinaan sudah bermula, semuanya atas inisiatif dan kesungguhan Ketua Menteri.
“Mengikut perancangan balai nelayan ini nanti akan dilengkapi pelbagai peralatan yang memudahkan urusan nelayan, tandas, tempat berehat dan menunaikan solat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


