
JEREBU UJI ‘ABANG RIDER’, PITSTOP JADI TEMPAT BERLINDUNG
BANDARAYA MELAKA 16 Oktober – Ketika jerebu mengaburkan pandangan dan menjejaskan keselesaan, penunggang p-hailing tetap perlu berada di jalan raya demi mencari rezeki, meskipun berdepan cabaran untuk memastikan keselamatan diri ketika menjalankan tugas.
Bagi pekerja gig, setiap pesanan yang perlu dihantar menuntut tumpuan dan kewaspadaan lebih tinggi, terutama apabila jarak penglihatan merosot akibat keadaan udara yang berjerebu.
Penggiat p-hailing, Sharul Amirul Jamal, 32, mengakui keadaan jerebu memberi cabaran besar kepada mereka yang bekerja dalam sektor itu terutama apabila penglihatan terjejas ketika menunggang motosikal, selain terdedah dengan masalah kesihatan akibat debu jerebu.
Menurutnya, keadaan pada waktu pagi lebih mencabar apabila pandangan ke hadapan menjadi kabur, sekali gus memaksanya menunggang dengan lebih berhati-hati.
“Disebabkan jarak pandangan terhad, saya perlu lebih berhati-hati pada waktu pagi. Malah, sebagai perlindungan, saya juga terpaksa memakai dua lapis pelitup muka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Anak jati Kampung Tedong itu berkata, meskipun berdepan situasi mencabar, namun dia perlu menempuh cabaran dan dugaan itu demi kelangsungan hidup.
“Cabaran memang ada, namun kerana kerja ini sudah menjadi sumber pendapatan, kami perlu menempuhinya, namun pada masa sama soal keselamatan dan kesihatan diri tetap perlu diutamakan,” katanya.
Dalam pada itu, Sharul Amirul turut memuji kemudahan Rider Pitstop pekerja p-hailing yang disediakan Kerajaan Negeri sebagai ruang rehat.
Katanya, kemudahan yang disediakan itu secara tidak langsung dapat menjadi ruang selamat untuk penghantar p-hailing ketika musim jerebu sementara menunggu pesanan.
“Malah, kemudahan ini juga dapat menjadi tempat melepaskan lelah selepas menghabiskan masa di atas jalan raya,” katanya.
Kemudahan Rider Pitstop itu sekali gus memberi ruang kepada penghantar p-hailing untuk berehat seketika sebelum kembali meneruskan tugas, terutama ketika berdepan keadaan cuaca dan persekitaran yang mencabar.
Bagi mereka yang mencari rezeki di jalan raya, ruang rehat seumpama itu bukan sekadar tempat melepaskan lelah, malah menjadi kemudahan sokongan dalam memastikan kebajikan golongan berkenaan terus diberi perhatian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

