TOK RAUF TUNAI SOLAT JUMAAT DI MASJID JAMEK TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Tanjung Bidara di Jalan Pasir Gembur, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf tiba di masjid berkenaan pada jam 1 tengah hari dan kesempatan yang ada digunakan untuk menyantuni serta bertanyakan khabar jemaah yang menyambutnya.

Ab Rauf bersama jemaah kemudian mendengar khutbah Jumaat bertajuk ‘Tabayyun Benteng Amanah Penyelamat Harta’ yang menekankan kepentingan menyemak kesahihan maklumat serta berwaspada terhadap risiko penipuan kewangan.

Khutbah berkenaan turut mengingatkan umat Islam agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan, pautan atau tawaran keuntungan yang mencurigakan, selain mengelakkan perkongsian maklumat perbankan dan menyerahkan akses akaun kepada pihak lain.

Jemaah turut diseru mengamalkan prinsip 3S iaitu Soal, Sekat dan Sebar bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan, selain bertindak segera dengan menghubungi pihak bank atau talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan.

Pesanan berkenaan menegaskan kepentingan menjaga amanah harta serta mengambil langkah pencegahan bagi melindungi diri dan keluarga daripada ancaman jenayah penipuan.

Usai solat Jumaat, Ketua Menteri bersama-sama jemaah menunaikan solat jenazah Allahyarham Sabtu Bakar, iaitu bapa kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Tanah Adat Melaka (PERTAM) Datuk Azmi Sabtu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

613
Kongsi :
Previous post JEREBU UJI ‘ABANG RIDER’, PITSTOP JADI TEMPAT BERLINDUNG