BUKAN SEKADAR ILMU, MAIM BANTU ANAK ASNAF BINA JARINGAN MASA DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BUKIT KATIL 16 Oktober – Peluang membina jaringan kenalan baharu menjadi antara manfaat yang ingin diketengahkan menerusi Himpunan Bitara Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), selain bantuan dan pengisian ilmu kepada anak asnaf yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

Ketua Unit Pembangunan Asnaf, Bahagian Pembangunan Insan MAIM, Muhammad Azizol Mohd Sahimi berkata, perhimpunan itu menghimpunkan 84 pelajar berusia 18 hingga 25 tahun daripada pelbagai institusi pengajian tinggi untuk berkongsi pengalaman dan membina hubungan baharu.

Beliau berkata, sebahagian peserta berpeluang bertemu rakan sebaya daripada institusi berlainan yang mungkin tidak pernah mereka kenali sebelum ini, sekali gus membina jaringan penting yang dapat membantu mereka pada masa akan datang.

“Selain mendapat manfaat dari sudut ilmu dan material, kita juga mahu mereka mendapat manfaat yang tidak nampak seperti ‘networking’. Ini merupakan satu perkara penting yang dapat membantu mereka,” katanya.

Menurutnya, jaringan berkenaan merupakan antara matlamat penganjuran Himpunan Bitara MAIM kerana hubungan yang dibina boleh memberi peluang kepada peserta untuk saling berkongsi maklumat dan pengalaman sepanjang pengajian.

Selain itu, program berkenaan turut menyediakan perkongsian daripada individu dalam bidang pendidikan tinggi dan pengambilan pelajar bagi membantu peserta membuat persediaan menghadapi alam pekerjaan.

Himpunan Bitara MAIM kini memasuki edisi kedua selepas mula dilaksanakan pada 2025 dan ia dirancang akan diteruskan pada tahun hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

411
Kongsi :
Previous post TOK RAUF TUNAI SOLAT JUMAAT DI MASJID JAMEK TANJUNG BIDARA