‘KUIH BANTAL, LEPAS MAKAN TERUS RASA NAK TIDUR’

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TANJUNG BIDARA 16 Oktober – Bagi mereka baru pertama kali menjamah kuih bantal, pasti menyangka nama yang unik itu adalah berdasarkan kepada bentuknya yang bersegi dan lembut seperti bantal.

Menjawab persoalan itu pengusaha kuih bantal Siti Nurhurai Mohd Puat, 38, berkata tekaan itu sama sekali tidak tepat kerana makanan berkenaan mendapat nama bukan berdasarkan kepada fizikal atau teksturnya.

6237843216489190258
SITI NURHURAI.

Bercerita lanjut Siti Nurhurai berkata, nama asal makanan itu adalah ‘kuih boom’ menggunakan adunan hampir sama untuk membuat kuih cakoi.

“Nama kuih bantal bermula apabila ramai pelanggan mengatakan akan berasa mengantuk dan mahu tidur selepas menjamah hidangan ini, saya juga berasa pelik kerana adunannya cuma bahan asas seperti tepung dan serbuk penaik.

“Saban hari panggilan kuih bantal semakin popular dalam kalangan penduduk kampung dan melekat sampai sekarang, langsung tidak ada kaitan dengan bentuknya yang empat segi seperti bantal.

“Mengikut tradisi atau resipi turun-termurun saiz kuih ini agak besar sedikit berbanding sekarang kerana bahagian tengahnya disumbat dengan mi goreng dan timun sama seperti tauhu sumbat kemudian dicicah kuah kacang,” katanya ketika ditemui di gerai diusahakan yang juga popular dengan panggilan Gerai Dak Hurai Kampung Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

6237843216489190253

GELAGAT pelanggan yang datang untuk membeli kuih bantal. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Siti Nurhurai berkata, sesuai dengan peredaran zaman cara menghidangkan kuih itu juga sudah berbeza kerana kini ia dimakan bersama kuah kacang atau kuah lada.

“Saya adalah generasi kedua mengusahakan kuih ini selepas mewarisi perniagaan daripada arwah ibunya, sejak usia 16 tahun lagi saya sudah aktif bersama perniagaan keluarga ini.

“Kalau saya sendiri sudah 20 tahun berniaga dan jika dikira sejak zaman arwah ibu perniagaan kami ini sudah berusia 50 tahun,” katanya.

Menurutnya lagi, setiap hari dia menggunakan 10 kilogram tepung untuk menghasilkan kuih bantal dan pada hujung minggu atau musim cuti jumlah itu meningkat sekali ganda.

“Selain nama yang unik mungkin olahan kuah kacang dan lada sentuhan saya sendiri menjadikan kuih ini lebih enak. Saya memilih kacang berwarna ungu untuk membuat kuah kacang kerana rasanya lebih lemak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post BUKAN SEKADAR ILMU, MAIM BANTU ANAK ASNAF BINA JARINGAN MASA DEPAN