
PRN MELAKA: SENARAI CALON BN SUDAH LENGKAP, AKAN DIUMUMKAN BILA-BILA MASA – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 16 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka sudah melengkapkan senarai nama calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 tidak lama lagi.
Meskipun masih berahsia berhubung perkara itu Pengerusi BN Negeri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, senarai berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, senarai nama semua calon sudah siap. Kita akan umum dalam masa yang terdekat, bila-bila masa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Geng E-Hailing dan P-Hailing Bersama Tok Rauf Parlimen Masjid Tanah di Villa D’ Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Mengulas perkara berkaitan Ab Rauf, menolak khabar angin bahawa BN Melaka akan mengumumkan senarai nama calon pada 24 Oktober nanti.
“Siapa kata. Tanya orang yang berkata, bukan dari saya,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai perkembangan rundingan bersama parti politik bagi membentuk gabungan pada PRN Melaka beliau berkata, butirannya akan diumumkan menjelang hari penamaan calon nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian PRN Melaka Ke-16, manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


