KAMPUNG PULAU JADI RUJUKAN KAMPUNG DIGITAL, KUBUR DIGITAL NEGARA

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Oktober – Kampung Pulau kini menjadi rujukan di peringkat negeri dan negara selepas menjadi perintis pelaksanaan Kampung Digital dan Kubur Digital yang mengubah kaedah pengurusan alamat kediaman serta pencarian pusara secara lebih sistematik.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu mencerminkan usaha mentransformasikan kampung tradisi berkenaan agar terus menjadi kebanggaan masyarakat, selain meninggalkan legasi bermakna untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, Kampung Pulau mempunyai sejarah tersendiri apabila menjadi lokasi pelaksanaan Kampung Digital yang menyusun semula sistem alamat penduduk menerusi penggunaan nombor, nama dan kod QR.

Menurutnya, sebelum inisiatif itu dilaksanakan, penduduk kampung berdepan kesukaran menerima surat-menyurat berikutan penggunaan alamat sama yang dikongsi kira-kira 800 penduduk.

“Apabila saya mula menjadi Ketua Menteri, saya melihat kampung kita ini masih menggunakan alamat yang dikongsi kira-kira 800 penduduk. Setiap generasi, daripada generasi kedua hingga kelima, berdepan kesukaran untuk dikenal pasti melalui alamat masing-masing.

“Jadi, saya mengubah demografi kampung ini dengan menjadikannya kampung rujukan Kampung Digital, bukan sahaja di Melaka, tetapi juga di Malaysia bagi urusan penyampaian surat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Anak-Anak Kampung Pulau Teq dan Seri Jeram Tahun 2026 di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, pelaksanaan Kampung Digital membolehkan setiap kediaman dikenal pasti dengan lebih teratur, sekali gus memudahkan urusan penghantaran surat dan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk.

Katanya, usaha itu kemudiannya diperluas menerusi pelaksanaan Kubur Digital bagi memudahkan waris mengenal pasti lokasi pusara keluarga yang sebelum ini sukar ditemukan, terutama selepas perubahan keadaan persekitaran tanah perkuburan.

“Daripada Kampung Digital, saya panjangkan pula kepada Kubur Digital. Kalau dahulu kita kebumikan ahli keluarga dengan berpandukan pokok besar atau tanda tertentu, apabila beberapa tahun berlalu dan pokok itu tumbang, pusara pun sukar ditemukan.

“Sekarang kubur sudah mempunyai nombor yang boleh dihubungkan dengan alamat digital kampung. Ini memudahkan waris mencari pusara dan menziarahi ahli keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua inisiatif itu bukan sekadar memperkenalkan penggunaan teknologi dalam pengurusan kampung, malah berpotensi menjadi warisan yang dimanfaatkan generasi akan datang.

Menurutnya, pembangunan kemudahan fizikal turut menjadi keutamaan apabila sebuah dewan baharu dibina bagi menggantikan kebergantungan penduduk terhadap balai raya yang digunakan selama kira-kira 70 tahun.

“Dewan ini bukan untuk kita semata-mata, tetapi untuk anak cucu kita yang akan meniti kehidupan 70 tahun akan datang. Kemudahan yang kita bina hari ini akan diwarisi oleh generasi seterusnya.

“Saya mahu Kampung Pulau menjadi rujukan dan kebanggaan kita semua, sebagai kampung yang menjadi antara perintis pendigitalan kehidupan masyarakat di negara ini,” katanya.

Ab Rauf berkata, Kampung Pulau berpotensi mencipta nilai sejarah tersendiri apabila pendekatan pendigitalan yang diperkenalkan dapat dijadikan rujukan untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan serta memelihara hubungan masyarakat dengan warisan keluarga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post KAMPUNG PULAU LAHIR 6 WAKIL RAKYAT, TOKOH-TOKOH HEBAT
Next post COKLAT TEMPATAN SETANDING ANTARABANGSA