BALAI ISLAM PERTAMA DIBINA DI KAMPUNG PULAU, TOK RAUF SUMBANG RM200,000

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

TANJUNG BIDARA 17 Oktober – Kampung Pulau, Masjid Tanah bakal mencipta sejarah apabila dipilih sebagai lokasi pembinaan kompleks Balai Islam yang menggabungkan Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura, sekali gus berpotensi menjadi mercu tanda baharu kerjasama Islam di rantau ASEAN.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, cadangan pembinaan kompleks itu mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan institusi Islam di Melaka.

Beliau berkata, kompleks berkenaan dirancang merangkumi masjid baharu, sekolah agama dan sekolah tahfiz bagi menyediakan kemudahan pendidikan serta ibadah untuk generasi akan datang.

“Insya-Allah, Balai Islam pertama yang lengkap dengan sekolah agama, masjid baharu dan sekolah tahfiz akan berada di bumi Kampung Pulau, Masjid Tanah, untuk kita semua dan anak cucu kita pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Anak-Anak Kampung Pulau Teq dan Seri Jeram Tahun 2026 di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, pemilihan Kampung Pulau turut mempunyai kaitan dengan peranan Malaysia ketika menjadi Pengerusi ASEAN, apabila kampung berkenaan dimaklumkan sebagai lokasi bagi pertemuan pertama Menteri-Menteri Agama ASEAN.

Menurutnya, pertemuan itu seterusnya mengangkat nama Kampung Pulau di peringkat serantau, selain membuka ruang kepada pembangunan institusi Islam yang memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada tabung pembinaan kompleks Balai Islam Kampung Pulau bagi membantu merealisasikan projek berkenaan.

Beliau turut mengajak anak jati Kampung Pulau yang berjaya dalam bidang perniagaan, politik dan korporat supaya bersama-sama menyumbang kepada tabung berkenaan demi memastikan pembangunan kompleks itu dapat dilaksanakan.

“Bayangkan, masjid kita hari ini sudah berusia lebih 100 tahun. Jika kita membina sebuah kompleks yang dapat dimanfaatkan sehingga 100 tahun akan datang, ia menjadi amal jariah yang manfaatnya dapat diwarisi oleh generasi seterusnya.

“Saya menyeru anak-anak Kampung Pulau yang berjaya dalam apa juga bidang supaya menyumbang kepada tabung ini agar Balai Islam Kampung Pulau menjadi kenyataan,” katanya.

Ab Rauf berkata, pembangunan kompleks itu bukan sekadar usaha membina kemudahan fizikal, sebaliknya satu amanah untuk menyediakan prasarana pendidikan agama dan ibadah yang dapat dimanfaatkan masyarakat dalam jangka panjang.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus memelihara hubungan silaturahim meskipun mempunyai perbezaan pandangan dan fahaman politik.

Katanya, perbezaan tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama masyarakat dalam menjayakan pembangunan kampung, khususnya projek yang memberi manfaat kepada generasi akan datang.

“Walaupun kita mungkin mempunyai perbezaan fahaman politik, ia tidak sepatutnya menjejaskan silaturahim. Persahabatan dan hubungan sesama kita tidak ternilai dengan wang ringgit atau harta benda.

“Amanah yang saya pikul sebagai pemimpin bukan hanya untuk orang Masjid Tanah atau Kampung Pulau, tetapi untuk seluruh rakyat Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post COKLAT TEMPATAN SETANDING ANTARABANGSA
Next post GERAN RM5,000 BANTU 45 USAHAWAN MUALAF MELAKA KEMBANG PERNIAGAAN