GERAN RM5,000 BANTU 45 USAHAWAN MUALAF MELAKA KEMBANG PERNIAGAAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Oktober – Seramai 45 usahawan mualaf di Melaka menerima geran khas RM5,000 setiap seorang menerusi Program Keusahawanan Mualaf iTEKAD Bank Islam bagi membantu memperkukuh modal dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, bantuan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan penerima untuk menambah modal perniagaan, membeli peralatan serta meningkatkan kecekapan operasi bagi memastikan perniagaan mereka terus berkembang.

Katanya, inisiatif itu merupakan antara usaha memperkasakan ekonomi saudara baharu supaya mereka bukan sahaja menerima sokongan kebajikan, malah berpeluang membina kehidupan lebih baik menerusi bidang keusahawanan.

“Saya berharap geran ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima untuk meningkatkan potensi perniagaan masing-masing, sekali gus membantu mereka membina sumber pendapatan yang lebih mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Seminar Usahawan Mualaf Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Syariah dan Kelestarian Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Mohd Nazri Chik; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad serta kenamaan lain.

Abdul Halim yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Melaka berkata, seminar anjuran Bank Islam Malaysia Berhad dengan kerjasama MAIM dan Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) Melaka itu turut memberi tumpuan kepada peningkatan pengetahuan serta kemahiran keusahawanan dalam kalangan saudara baharu.

Katanya, seramai 80 usahawan mualaf menyertai seminar berkenaan yang menyediakan pendedahan mengenai pengurusan perniagaan serta motivasi untuk meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan.

“Alhamdulillah, menerusi seminar ini, peserta diberikan pendedahan mengenai teknik pengurusan perniagaan serta motivasi bagi membina semangat dan keyakinan untuk terus memajukan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, gabungan bantuan kewangan dan ilmu keusahawanan penting bagi membantu usahawan mualaf merancang perniagaan dengan lebih baik, mengurus sumber secara berkesan serta mengenal pasti peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post BALAI ISLAM PERTAMA DIBINA DI KAMPUNG PULAU, TOK RAUF SUMBANG RM200,000
Next post TOK RAUF SEBAK KONGSI PERJALANAN GENGGAM PHD PADA USIA 65 TAHUN