
TOK RAUF SEBAK KONGSI PERJALANAN GENGGAM PHD PADA USIA 65 TAHUN
TANJUNG BIDARA 17 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi perjalanannya menuntut ilmu sehingga bakal menerima ijazah kedoktoran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada usia 65 tahun, sekali gus menjadikan pencapaiannya sebagai inspirasi kepada generasi muda.
Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata, kejayaan itu membuktikan usaha berterusan dan kesungguhan menuntut ilmu mampu membawa seseorang mencapai impian tanpa dibatasi faktor usia.
“Insya-Allah, pada 21 November ini, saya akan menerima ijazah kedoktoran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia untuk anda semua (sebak).
“Saya belajar dan teruskan usaha sehingga ke peringkat ini demi memberitahu bahawa kita boleh berjaya di mana-mana sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Anak-Anak Kampung Pulau Teq dan Seri Jeram Tahun 2026 di Dewan Terbuka Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Ab Rauf turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan seorang anak jati Kampung Pulau yang berjaya mengharumkan nama kampung berkenaan apabila bergelar seorang doktor pakar di negara ini.
Katanya, pencapaian itu membuktikan anak-anak Kampung Pulau mampu melakar kejayaan dalam pelbagai bidang sekiranya terus berusaha dan tidak mudah berputus asa.
“Insya-Allah, anak-anak muda teruskan belajar dan berusaha. Kita mahu lebih ramai anak kampung berjaya serta kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, perpaduan dan kesepakatan masyarakat perlu terus dipelihara bagi memastikan pembangunan kampung dapat dilaksanakan demi kepentingan generasi akan datang.
Beliau berkata, sepanjang bergelar wakil rakyat, pendekatan politik yang diamalkannya berteraskan usaha memajukan negeri dan bukannya menyemarakkan kebencian atau permusuhan sesama masyarakat.
“Saya mengamalkan politik untuk bersama-sama memajukan Melaka. Saya tidak mengamalkan politik hasutan, politik kebencian atau politik jahat.
“Apa yang saya amalkan ialah bagaimana saya mahu memajukan negeri Melaka ini pada landasan terbaik demi mengangkat martabat bangsa supaya menjadi bangsa yang cemerlang dan gemilang,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat Kampung Pulau supaya terus bersatu hati dan mengetepikan perbezaan demi memastikan legasi pembangunan dapat diwariskan kepada anak cucu.
“Berpakatlah, kerana berpakat itu membawa berkat. Kita perlu terus bersatu demi anak cucu dan masa depan Kampung Pulau,” katanya.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


