NILAI EKSPORT CECAH RM18.33 BILION, TIGA STRATEGI PACU INDUSTRI KOKO NEGARA

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

BANDA HILIR 17 Oktober – Nilai eksport biji koko dan produk berasaskan koko Malaysia meningkat kepada RM18.33 bilion pada 2025 berbanding RM15.06 bilion pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan potensi besar industri itu untuk terus berkembang di pasaran antarabangsa.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, bagi memastikan pertumbuhan industri koko negara terus mampan, kementeriannya memberi tumpuan kepada tiga fokus utama, merangkumi peningkatan pengeluaran koko tempatan, pengukuhan sistem kebolehkesanan serta pembangunan produk bernilai tinggi.

Beliau berkata, meskipun Malaysia merupakan antara negara utama dunia dalam aktiviti pemprosesan dan pengisaran koko, bekalan biji koko mentah negara masih banyak bergantung kepada import.

Justeru, katanya, usaha meningkatkan pengeluaran tempatan perlu dipergiat bagi memperkukuh rantaian bekalan, meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar.

“Fokus pertama kita adalah meningkatkan pengeluaran koko tempatan dan pendapatan pekebun kecil melalui galakan penanaman secara berkelompok, bantuan tanaman klon berkualiti tinggi serta pemberian insentif khas,” katanya ketika berucap merasmikan A Malaysian Cocoa Affair 2026 di Mahkota Parade, di sini, hari ini.

Noraini berkata, keutamaan kedua ialah memperkukuh Sistem Kebolehkesanan Koko Kebangsaan bagi memastikan pergerakan koko dapat direkodkan dengan lebih sistematik dan memenuhi keperluan pasaran antarabangsa, khususnya berkaitan kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, langkah itu penting bagi membantu pemain industri bersedia menghadapi keperluan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) yang berkaitan produk dan komoditi tertentu yang memasuki pasaran Kesatuan Eropah.

“Pengukuhan sistem kebolehkesanan ini penting bagi memastikan produk koko Malaysia memenuhi keperluan pasaran antarabangsa dan meningkatkan keyakinan pembeli terhadap sumber serta rantaian bekalan produk kita,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan ketiga pula ialah memperluas penghasilan produk koko bernilai tinggi, termasuk coklat premium yang mampu meningkatkan nilai tambah serta daya saing jenama tempatan di pasaran global.

Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan lebih RM40 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi menyokong pembangunan produk premium menggunakan teknologi moden, termasuk kaedah bean-to-bar yang merangkumi proses penghasilan coklat daripada biji koko mentah sehingga menjadi produk siap.

“Kita tidak mahu Malaysia hanya dikenali sebagai negara yang memproses koko, tetapi kita mahu Malaysia gah dikenali sebagai negara yang menghasilkan coklat premium.

“Pendekatan bean-to-bar memberi peluang kepada pengusaha mengawal mutu dan cita rasa produk, selain membina jenama sendiri untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan lebih ramai golongan belia menceburi industri agrikomoditi, khususnya dalam bidang pemprosesan koko dan penghasilan produk hiliran yang mempunyai potensi pasaran lebih luas.

Menurutnya, gabungan peningkatan pengeluaran tempatan, pematuhan keperluan pasaran antarabangsa dan pembangunan produk bernilai tinggi penting bagi memastikan industri koko negara terus berdaya saing serta memberikan manfaat kepada pekebun, pengusaha dan ekonomi negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

285
Kongsi :
Previous post TOK RAUF SEBAK KONGSI PERJALANAN GENGGAM PHD PADA USIA 65 TAHUN
Next post ‘BATU TENGGEK’, PERMATA SENJA DI TANJUNG BIDARA