
PRN MELAKA: BN UMUM CALON 28 OKTOBER, KEKAL SASAR 21 KERUSI
SUNGAI UDANG 17 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka akan mengumumkan senarai calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 pada 28 Oktober ini, dengan beberapa kejutan dibayangkan menjelang hari penamaan calon.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata pengumuman itu akan dibuat tiga hari sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan pada 31 Oktober ini, manakala lokasinya akan dimaklumkan kemudian.
“Kita akan umumkan pada 28 hari bulan. Tempatnya nanti saya beritahu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Tangga Batu di Bilik Gerakan Utama BN Parlimen Tangga Batu di Bandar Baru Sungai Udang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin serta lain-lain kenamaan.
Ketika ditanya mengenai bayangan kemungkinan kerjasama atau gabungan dengan parti politik lain pada PRN kali ini, Ab Rauf enggan mengulas lanjut sebaliknya meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi pada 28 Oktober ini.
“Antara kejutannya, biar kita semua terkejut,” katanya.
Beliau turut berteka-teki mengenai kemungkinan berlaku pertukaran kerusi atau perubahan dalam senarai calon yang bakal diketengahkan gabungan berkenaan.
“Itu tunggu, saya akan beritahu pada hari itu. Tak ada nak beritahu sekarang. Itu biarlah jadi kejutan-kejutan kita,” katanya.
Mengulas mengenai sasaran BN pada PRN kali ini, Ab Rauf menegaskan gabungan itu kekal dengan sasaran memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Kita kekal 21. Kita sasar sebanyak mana yang boleh kita menang,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti dua pertiga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


