
PRN MELAKA: BN TANGGA BATU PERKUKUH JENTERA, TERIMA SOKONGAN KEDAH DAN PERAK
SUNGAI UDANG 17 Oktober – Barisan Nasional (BN) Bahagian Tangga Batu memperkukuh kesiapsiagaan jentera pilihan raya dengan sokongan kepimpinan dan bapa angkat dari Kedah serta Perak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata pengukuhan jentera itu penting bagi memastikan gerak kerja pilihan raya dapat dilaksanakan secara teratur, terancang dan lancar menjelang hari pengundian.
Katanya, persiapan berkenaan turut memberi tumpuan kepada penyelarasan tugas jentera menjelang hari penamaan calon pada 31 Oktober ini.
“Semua bapa angkat daripada Kedah dan juga Perak hadir pada malam ini bagi memastikan jentera yang disokong oleh bapa angkat ini dapat menjalankan gerak kerja pilihan raya dengan teratur, terancang dan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Tangga Batu di Bilik Gerakan Utama BN Parlimen Tangga Batu, di Bandar Baru Sungai Udang, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, pengaktifan jentera pilihan raya di kawasan berkenaan merupakan sebahagian daripada persiapan BN bagi memastikan kelancaran gerak kerja sebelum menghadapi hari pengundian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO dan BN Tangga Batu atas komitmen yang diberikan dalam menggerakkan jentera pilihan raya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pimpinan UMNO dan Barisan Nasional Tangga Batu yang telah memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh dalam kita memandu arah untuk menang pilihan raya yang akan datang,” katanya.
PRN Melaka Ke-16 dijadualkan berlangsung pada 14 November ini manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

