
BN TEKAD KUASAI EMPAT DUN PARLIMEN TANGGA BATU
SUNGAI UDANG 18 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka bertekad menguasai kesemua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, 14 November depan.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, empat kerusi berkenaan iaitu Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput dan Klebang menjadi antara tumpuan parti itu dalam usaha memperkukuh kedudukan BN pada pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, seluruh kepimpinan dan jentera parti perlu memperlihatkan kesungguhan serta semangat perjuangan yang tinggi bagi memastikan kemenangan dapat dicapai.
“Kita tak mahu kalah seperti mana kita pernah kalah dulu. Kita tak mahu kalah kerana kalau kita kalah, kita hendak bangkit cukup payah.
“Kita mesti menang, empat-empat kerusi yang berada dalam Tangga Batu mesti kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Tangga Batu di Bandar Baru Sungai Udang, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka merangkap Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin; Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali serta Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong.
Turut bersama, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Azian Osman serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, persaingan dalam politik merupakan perkara biasa, namun ia tidak seharusnya melemahkan semangat jentera parti untuk menghadapi pilihan raya.
Katanya, BN mempunyai barisan kepimpinan yang bersedia menggalas tanggungjawab bagi memastikan keempat-empat kawasan DUN berkenaan dapat dimenangi.
“Paya Rumput, Sungai Udang, Klebang dan Pantai Kundor, jangan risau…dalam politik memang ada saingan. Dalam politik mesti ada taruhan. Dalam politik mesti ada pertembungan.
“Pastinya panglima-panglima yang ada di hadapan kita ini tidak gentar menghadapi cabaran untuk menang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

