
DANA RAKAN MUDA RANCAKKAN AKTIVITI BELIA, SUKAN DI MELAKA
AYER KEROH 18 Oktober – Persatuan belia dan penganjur sukan di negeri ini diseru untuk memanfaatkan peruntukan disediakan oleh Jabatan Belia dan Sukan bagi merancakkan penganjuran aktiviti peringkat akar umbi.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, pelbagai dana tersedia dan terbuka untuk dimohon, khususnya melalui program Rakan Muda yang merangkumi 10 pecahan kategori.
Menurutnya, pemohon bagaimanapun perlu mengemukakan permohonan lebih awal mengikut ketetapan suku tahun bagi memastikan kelulusan dana berjalan lancar.
“Untuk belia dan sukan, kita kena mohon tiga bulan awal. Ia ada peruntukan dari suku tahun pertama, kedua dan ketiga, jadi jangan ketinggalan peluang ini,” katanya pada sidang media selepas MEWAKILI Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Melaka, di Kompleks Belia dan Sukan Melaka, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau turut mengesahkan bahawa pihak kementerian telah menyediakan peruntukan sebanyak RM30,000 untuk penganjuran program sambutan sukan di peringkat negeri.
Dalam perkembangan lain, Shanmugam menegaskan bahawa Kerajaan Negeri mengekalkan polisi sedia ada untuk melunaskan pembayaran elaun dan imbuhan kepada atlet serta jurulatih yang menang mewakili negeri dan kebangsaan.
Jelasnya, kelewatan pembayaran insentif bagi pemenang Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum ini adalah berpunca daripada pematuhan prosedur ujian kesihatan atlet.
“Kita sepatutnya selesai awal tapi kita ada masalah ujian doping, kita ada satu kes. Jadi kita tunggu sampai selesai baru kita buat (pembayaran),” jelasnya.
Sementara itu, beliau meluahkan rasa bangga apabila kontinjen Melaka berjaya memecahkan rekod pencapaian pingat pada temasya SUKMA menerusi pencapaian sasaran baharu yang ditetapkan pada tahun ini.
Selain sukan arus perdana, pembangunan sukan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut terbela apabila kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM100,000 baru-baru ini.
Secara keseluruhannya, ketersediaan dana sokongan serta penyaluran insentif yang berterusan ini membuktikan komitmen jitu kerajaan dalam menyokong segenap aspek pembangunan sukan demi melahirkan lebih ramai pelapis cemerlang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


