
REKOD PRU LALU IKTIBAR BN PERKEMAS PERSIAPAN HADAPI PRN MELAKA
MACHAP JAYA 18 Oktober – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menjamin kejayaan di peringkat Parlimen, sekali gus menjadi iktibar kepada parti itu dalam memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November depan.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kekalahan parti itu di semua kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu perlu dijadikan rujukan untuk mengenal pasti kelemahan dan memperbaiki strategi bagi menghadapi PRN akan datang.
Katanya, perubahan landskap dan pola pengundian susulan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik antara perkara yang perlu diberikan perhatian kerana membabitkan pertambahan pengundi yang tidak semestinya dikenal pasti menerusi kaedah tradisional.
“Situasi ini menuntut jentera parti memahami perubahan komposisi pengundi serta memperkukuh pendekatan mendekati masyarakat bagi memastikan sokongan terhadap BN dapat dipertahankan.
“Tetapi apabila pengundi baharu dibenarkan mengundi, bukan sahaja mereka berusia 18 tahun, malah mereka yang berusia 60 tahun tetapi tidak pernah mengundi juga boleh mengundi.
“Kita tidak tahu siapa mereka dan dari mana datangnya kerana secara automatik mereka menjadi pemilih. Akhirnya kita tewas kerusi Parlimen Alor Gajah,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Alor Gajah di Dewan Kampung Permai Machap Umboo, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada PRN Melaka 2021, namun pencapaian itu tidak boleh dijadikan ukuran mutlak untuk menentukan kejayaan parti pada pilihan raya seterusnya.
Katanya, di kawasan Parlimen Alor Gajah, BN berjaya memenangi kerusi DUN Rembia, Gadek, Asahan dan Machap Jaya, selain Durian Tunggal, namun keputusan di peringkat negeri itu tidak diterjemahkan kepada kemenangan di Parlimen.
Jelasnya, beliau mahu jentera parti menilai semula kekuatan dan kelemahan masing-masing, termasuk mengenal pasti punca kekalahan walaupun mempunyai jentera yang disifatkannya kuat.
“Walaupun kita menang cemerlang di peringkat DUN tetapi kita tewas di peringkat Parlimen. Kekalahan itu mesti menjadi bahan rujukan mengapa kita tidak boleh menang.
“Adakah jentera tidak kuat? Saya tidak nampak jentera Alor Gajah ini tidak kuat. Saya melihat jentera ini cukup hebat, tetapi kita perlu bertanya mengapa kita kalah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


