RUNDINGAN AKHIR TENTUKAN AGIHAN KERUSI BN DI LIMA DUN PARLIMEN ALOR GAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

MACHAP JAYA 18 Oktober – Rundingan akhir bersama parti komponen dan rakan strategik menjadi penentu agihan kerusi yang bakal ditandingi Barisan Nasional (BN) di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Alor Gajah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu masih dalam proses rundingan sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung pembahagian kerusi berkenaan.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan BN meletakkan calon di kelima-lima DUN dalam Parlimen Alor Gajah.

“Kita tunggu rundingan demi rundingan di saat-saat akhir nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Alor Gajah di Dewan Kampung Permai Machap Umboo, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Wanita UMNO Melaka Datuk Kalsom Noordin; Pengerusi MCA Alor Gajah Datuk Wira Koh Nai Kwong; Pengerusi MIC Alor Gajah Datuk K Rajan serta Ketua-Ketua Bahagian serta kenamaan lain.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata, jentera BN di dua kawasan Parlimen yang dikunjunginya, iaitu Tangga Batu dan Alor Gajah, sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRN Melaka dengan gerak kerja lapangan dimulakan lebih awal.

Katanya, sambutan menggalakkan pada majlis pelancaran jentera itu turut mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan pimpinan parti komponen dan Friends of BN di Melaka.

“Perkembangan persiapan jentera di dua Parlimen yang saya rasmikan menunjukkan BN sedang mempergiat persediaan bagi menghadapi PRN.

“Kita sudah bersedia 100 peratus,”katanya.

Untuk rekod, lima DUN di bawah Parlimen Alor Gajah pada PRN Melaka ke-15 semua dimenangi BN membabitkan DUN Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal dan Asahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

354
Kongsi :
Previous post INISIATIF NO RIGHT TURN, GO STRAIGHT TINGKAT KECEKAPAN PENGURUSAN TRAFIK MELAKA
Next post REKOD PRU LALU IKTIBAR BN PERKEMAS PERSIAPAN HADAPI PRN MELAKA