‘ JANGAN ADA DURI DALAM DAGING, GUNTING DALAM LIPATAN’ – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

MACHAP JAYA 18 Oktober – Semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya mengetepikan kepentingan peribadi dan memberikan sokongan penuh kepada calon yang dipilih kepimpinan parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penyatuan jentera parti amat penting bagi memastikan semua gerak kerja menghadapi PRN dilaksanakan secara tersusun tanpa dicemari perselisihan dalaman.

Katanya, rasa tidak puas hati terhadap pemilihan calon tidak seharusnya menjadi punca perpecahan sehingga menjejaskan peluang BN mempertahankan kerusi yang dimenangi.

“Semua anggota perlu meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan individu, selain menghormati keputusan kepimpinan dalam menentukan calon yang akan bertanding.

“Yang hendak menang ialah parti, bukan peribadi. Jangan ada yang menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan.

“Kita hendak menang dan tidak mampu kalah lagi. Siapa juga yang parti pilih, itulah calon yang kita akan menangkan untuk pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah di Dewan Kampung Permai Machap Umboo, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan; Ketua Wanita UMNO Melaka Datuk Kalsom Noordin; Pengerusi MCA Alor Gajah Datuk Wira Koh Nai Kwong; Pengerusi MIC Alor Gajah Datuk K Rajan serta Ketua-Ketua Bahagian serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kekuatan jentera bukan sekadar bergantung kepada jumlah anggota atau semangat ketika program parti, sebaliknya memerlukan kesepakatan dan komitmen berterusan bagi memastikan matlamat kemenangan dapat dicapai.

‘Saya mahu seluruh anggota BN mengelakkan sebarang tindakan yang boleh melemahkan parti dari dalam, terutama ketika jentera sedang mempergiat persiapan menghadapi PRN Melaka pada 14 November ini.

“Buktikan kembali bumi Melaka, yang mana bumi Alor Gajah yang buminya dipijak, langitnya dijunjung, kembalikan semula bumi Alor Gajah kepada UMNO dan Barisan Nasional,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post DANA RAKAN MUDA RANCAKKAN AKTIVITI BELIA, SUKAN DI MELAKA
Next post BN SASAR SAPU BERSIH LIMA DUN ALOR GAJAH