
BN SASAR SAPU BERSIH LIMA DUN ALOR GAJAH
MACHAP JAYA 18 Oktober- Barisan Nasional (BN) menyasarkan kemenangan di semua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Alor Gajah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, kemenangan itu sudah pasti dengan kaedah memperkukuh jentera akar umbi dan memberi tumpuan kepada keperluan pengundi muda.
Katanya, persiapan jentera di kawasan itu berjalan lancar dengan sokongan parti komponen selain gerak kerja yang kini diperkemas bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya.
“Lebih 3,000 jentera menghadiri pelancaran jentera BN di Parlimen Alor Gajah, sekali gus memperlihatkan komitmen parti dalam menggerakkan jentera di peringkat akar umbi.
“BN akan meneruskan pendekatan politik kasih sayang dengan menyantuni masyarakat secara berterusan, selain mengelakkan kaedah kempen yang boleh menjejaskan imej parti.
“Jentera perlu terus mendekati pengundi, terutama golongan muda yang kini lebih bergantung kepada fakta dan memerlukan maklumat tepat sebelum membuat penilaian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perasmian Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah yang disempurnakan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Kampung Permai Machap Umboo, di sini, hari ini.
Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, keperluan golongan muda, khususnya peluang pekerjaan dan pemilikan rumah, turut menjadi antara fokus dalam usaha mendapatkan sokongan mereka menjelang PRN Melaka akan datang.
Katanya, perancangan Kerajaan Negeri membangunkan pusat industri baharu berpotensi membuka peluang pekerjaan, sekali gus membantu golongan muda meningkatkan pendapatan dan membina kehidupan lebih stabil.
“Selain itu, usaha memperluas peluang pemilikan rumah perlu mengambil kira keadaan setempat, termasuk potensi penggunaan tanah persendirian serta akses kepada projek perumahan mampu milik di kawasan berhampiran.
“BN juga sedang menyusun semula gerak kerja bagi mengembalikan sokongan di kawasan Parlimen Alor Gajah selepas memenangi lima kerusi DUN pada PRN Melaka 2021 dan diharapkan seluruh jentera dapat bekerja secara tersusun dan konsisten bagi merealisasikan sasaran kemenangan di semua lima kerusi DUN ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


