PRN MELAKA: MCMC, SPR PASTIKAN LIPUTAN INTERNET LANCAR, TIDAK JEJASKAN SISTEM OCR-VA

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

MACHAP JAYA 18 Oktober – Lokasi urusan pilihan raya yang pada awalnya dicadangkan di Dewan Penyayang, Lesung Batu ditukar ke Japerun Machap Jaya susulan masalah capaian Internet.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah turun padang bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendapatkan tahap capaian internet di lokasi tersebut.

Katanya, laporan berkaitan tahap capaian internet turut dikemukakan kepada SPR manakala pemantauan diteruskan bagi memastikan kemudahan rangkaian di lokasi urusan pilihan raya berada pada tahap bersesuaian.

“Melaka menjadi negeri kedua pelaksanaan sistem pengecaman aksara untuk merekod kehadiran pengundi atau dikenali Optical Character Recognition-Voter Attendance (OCR-VA), jadi capaian internet antara faktor utama dalam memilih lokasi untuk melancarkan PRN.

“Kerjasama antara agensi berkenaan penting bagi membolehkan masalah teknikal dikenal pasti lebih awal dan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan kelancaran urusan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perasmian Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah yang disempurnakan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Kampung Permai Machap Umboo, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah berkata, kesiapsiagaan capaian internet di kawasan luar bandar terus diberi perhatian menerusi kerjasama dengan MCMC bagi mengenal pasti serta menangani masalah rangkaian yang masih dihadapi penduduk.

Katanya, pelaksanaan inisiatif berkaitan infrastruktur digital sebelum ini meningkatkan capaian internet di kawasan berpenduduk kepada lebih 90 peratus, manakala liputan rangkaian 5G melebihi 80 peratus.

Tambahnya, aduan penduduk yang disalurkan menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), termasuk melalui Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), turut diteliti bagi mengenal pasti punca sebenar masalah sebelum tindakan susulan dilaksanakan.

“Apabila kita turun ke lapangan, ada masalah yang pada awalnya dilihat sudah selesai, tetapi pemeriksaan mendapati kawasan berkenaan masih menghadapi gangguan disebabkan faktor muka bumi, termasuk terlindung oleh bukit,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

513
Kongsi :
Previous post BN SASAR SAPU BERSIH LIMA DUN ALOR GAJAH