POTENSI KAMPUNG 6 JADI DESTINASI PELANCONGAN MAKANAN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KESIDANG 19 Oktober – Kampung 6, berpotensi menjadi antara lokasi tarikan pelancongan di Melaka menerusi keunikan sajian makanan serta kemeriahan aktiviti ekonomi malam yang mampu menggamit kehadiran pengunjung.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, suasana meriah di kawasan itu membuktikan sektor makanan dan perniagaan pada waktu malam mampu menjadi tarikan kepada pelancong, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza kepada mereka yang berkunjung ke negeri ini.

Menurutnya, restoran roti canai yang menampilkan keunikan persembahan unik menerusi aksi penebar roti canai melayangkan doh menjadi antara lokasi menarik perhatian.

“Saya melihat sektor ekonomi sebelah malam berjalan dengan begitu rancak khususnya di kawasan Kampung 6 ini.

“Di lokasi ini terdapat Roti Terbang Mezan yang bukan sahaja menghidangkan makanan yang enak tetapi turut menampilkan persembahan menarik.

“Selain di sini juga mempunyai sebuah medanj yang amat besar dan mampu menarik kehadiran pengunjung yang ramai malah ini juga merupakan antara ikon kepada pengunjung luar untuk datang ke Melaka mencari makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jom Makan Malam Santai Ketua Menteri, di Roti Terbang Mezan Kampung 6, di sini, semalam.

Ab Rauf berkata, kepelbagaian sajian dan suasana meriah pada waktu malam mampu memberikan nilai tambah kepada sektor pelancongan Melaka, selain membuka peluang kepada peniaga tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Saya bangga bahawa ekonomi malam Melaka berjalan dengan begitu rancak memandangkan Melaka adalah sebuah kota pelancongan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri turut meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan masyarakat Tionghua di Tokong Pak Tiam Keong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MCMC, SPR PASTIKAN LIPUTAN INTERNET LANCAR, TIDAK JEJASKAN SISTEM OCR-VA