ORANG ALOR GAJAH PUJI PENTADBIRAN MESRA RAKYAT, TURUN PADANG DIAMALKAN TOK RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

MACHAP JAYA 19 Oktober – Pelbagai inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri sepanjang kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dipuji dan mendapat reaksi positif dalam kalangan orang Melaka khusus di Parlimen Alor Gajah.

Paling mendapat perhatian adalah komitmen Ab Rauf bersama kepimpinan negeri yang turun padang menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat demi menyelesaikan masalah komuniti merangkumi pelbagai aspek termasuk infrastruktur, kebajikan serta perpaduan.

Rosidah Arshad, 68, dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan berkata, sepanjang pentadbiran Ab Rauf DUN berkenaan tidak pernah terpinggir daripada menerima tempias pembangunan.

“Antara khabar gembira buat orang Asahan adalah pembinaan stesen minyak baharu yang secara tidak langsung memudahkan urusan penduduk sekitar. Sebelum ini kami terpaksa pergi jauh untuk mengisi petrol.

“Meskipun berada di kawasan luar bandar kami juga tidak ketinggalan dalam aspek digital apabila kualiti capaian internet bagi DUN ini terus dipertingkatkan agar lebih cekap dan lancar.

“Alhamdulillah Ketua Menteri dah macam-macam buat. Bantuan daripada peringkat sekecil-kecilnya sampai sebesar-besarnya memang kita dah nampak dan rasai sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu bagi R Devika, 33, dari DUN Rembia pula menyifatkan Kerajaan Negeri benar-benar melaksanakan tanggungjawab membela rakyat terutama golongan kurang mampu dan mereka yang mengalami masalah kesihatan.

Berkongsi kisahnya Devika meluahkan rasa terharu apabila  permohonan mendapatkan bantuan kerusi roda bagi ibunya yang baharu selesai menjalani pembedahan kaki diluluskan tahun lalu.

“Mereka yang mengalami masalah kesihatan amat memerlukan bantuan asas seperti kerusi roda dan tongkat, tetapi bagi golongan berpendapatan rendah macam saya kos untuk membelinya agak mahal.

“Menerusi bantuan disalurkan Kerajaan Negeri saya akui ia amat membantu meringankan beban kami kerana pada masa yang sama perlu memikirkan pelbagai lagi perbelanjaan lain untuk keluarga,” katanya.

Manakala Manoharan Vithisurian, 41, dari DUN Machap Jaya berkata, penerima bantuan pula melibatkan semua kaum tanpa sebarang batasan kaum.

“Kalau memang layak, bantuan disalurkan oleh Kerajaan Negeri, tak kira, Melayu, Cina, India atau kaum lain. Saya harap pentadbiran mesra rakyat dan pendekatan turun padang ini diteruskan.

“Mungkin ada dalam kalangan rakyat sedang dalam kesukaran tidak tahu cara untuk meminta bantuan. Jadi apabila kepimpinan negeri datang mengetuk pintu rumah, ini amat menggembirakan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

544
Kongsi :
Previous post BUKAN DEMI RUPA, DUA PESERTA BIGGEST LOSER PILIH HIDUP LEBIH SIHAT
Next post AB RAUF, KETUA MENTERI ‘GRED A’