
AB RAUF, KETUA MENTERI ‘GRED A’
KESIDANG 19 Oktober – Usaha Kerajaan Negeri merancakkan sektor pelancongan menerusi penganjuran pelbagai program dan acara memberikan impak positif kepada ekonomi peniaga tempatan, khusus termasuk pengusaha makanan di negeri ini.
Pemilik restoran Roti Terbang Mezan Kampung 6, Mizan Mat Said berkata, pendekatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama membantu membuahkan hasil apabila negeri ini menjadi pilihan pengunjung tempatan dan antarabangsa.
“Apabila ramai yang datang ke Melaka, peniaga macam saya yang memperoleh manfaat. Bagi saya Ketua Menteri ini adalah seorang yang tidak boleh duduk diam, pasti ada sahaja program yang diadakan, bukan sekadar program kosong tetapi beri impak besar kepada peniaga khusus di Banda Hilir.
“Secara peribadi saya melihat beliau seorang Ketua Menteri yang dapat menguruskan sektor pelancongan negeri dengan amat baik. Senang kata ‘gred A’,” katanya kepada Melaka Hari ini
Mizan berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena program Jom Makan Malam Santai Ketua Menteri, di premisnya, semalam.
Menurutnya, pendekatan turun padang diamalkan Ketua Menteri, memberi peluang kepada peniaga untuk berinteraksi secara terus dengan pemimpin negeri.
“Sepanjang hampir 30 tahun berniaga, ini kali pertama Ketua Menteri datang ke kedai dan pastinya saya amat teruja serta mengalu-alukan kedatangan beliau.
“Beliau bukan sahaja seorang pemimpin yang berjiwa rakyat tetapi amat rapat dengan semua lapisan masyarakat. Tiada lagi Ketua Menteri sebelum ini seperti beliau,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

