
DULU TIDUR ATAS LANTAI SIMEN, SEKARANG MILIKI SALUN SENDIRI
BANDARAYA MELAKA 20 Oktober – Berbekalkan kemahiran dalam bidang dandanan rambut dan semangat untuk menyara anak-anak, Zulaikha Puerto Abdullah, 60, sanggup meninggalkan keluarga di kampung halaman demi membina kehidupan baharu di Melaka.
Selepas kehilangan suami, pengusaha Nur Hair Do & Beauty Salon Muslimah itu berhijrah dari Kota Kinabalu, Sabah ke Melaka pada usia awal 40-an.
Berkongsi perjalanannya hidupnya Zulaikha berkata, dia terpaksa menjadikan lantai simen sebuah kedai kosong sebagai tempat tidur ketika baharu mula membina perniagaan pada 2004.
“Ketika itu, saya hanya berharap dapat membina semula kehidupan menggunakan kemahiran dalam bidang salun yang diceburi sejak muda. Bukan mudah kerana saya terpaksa meninggalkan anak-anak yang masih kecil di kampung demi mencari rezeki untuk menampung kehidupan mereka.
“Saya datang dengan pengalaman sahaja, bukan modal atau wang. Sebagai ibu tunggal, saya perlu kuat walaupun setiap hari tertanya-tanya sama ada mampu bertahan atau tidak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Bermula dengan menyewa sebuah premis daif di Bukit Rambai, Zulaikha mengusahakan salunnya termasuk mengemas dan membasuh tuala seorang diri tanpa pekerja.
Sebahagian keuntungan diperoleh disimpan dan digunakan untuk membeli peralatan salun terpakai secara berperingkat agar dapat memberikan perhidmatan lebih memuaskan kepada pelanggan.
Kehadiran pelanggan yang semakin bertambah menjadi pembakar semangat untuknya terus bertahan, sekali gus membuktikan pengalaman dan kesungguhan mampu menjadi asas membina perniagaan meskipun bermula tanpa modal besar.
Di sebalik perjuangan mencari rezeki, Zulaikha turut melalui perjalanan hidup yang mengubah dirinya apabila memeluk Islam ketika berada di Sabah sebelum mendalami agama ini dengan lebih dekat selepas berhijrah ke Melaka.
“Keputusan memeluk Islam dibuat atas kehendak sendiri selepas melalui pengalaman yang mendorong saya mencari kepastian, meskipun pada awalnya saya berasa takut dan belum memahami agama Islam secara mendalam.
“Alhamdulillah, saya berpeluang mendalami agama di Kompleks Darul Huda, Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selepas diperkenalkan oleh seorang ustaz.
“Pembelajaran itu membantu saya memahami Islam secara berperingkat, selain memberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan dan menghadapi kesukaran,” katanya.
Bermula dengan serba kekurangan, perniagaan yang diusahakannya itu terus bertahan sehingga kini, malah turut membuka peluang kepada pelajar kolej komuniti menjalani latihan praktikal.
Lebih membanggakan, dua bekas pelatihnya kekal bekerja bersamanya sehingga kini, mencerminkan kesungguhannya bukan sahaja dalam membangunkan perniagaan, malah berkongsi kemahiran dengan generasi baharu.
Zulaikha berkata, beliau menyimpan impian untuk membuka pusat pembelajaran bagi golongan mualaf supaya mereka berpeluang menguasai kemahiran dan membina sumber pendapatan sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan, Zulaikha antara 45 usahawan mualaf di Melaka yang menerima geran khas RM5,000 setiap seorang menerusi Program Keusahawanan Mualaf iTEKAD Bank Islam bagi membantu mengembangkan perniagaan masing-masing.
Beliau berharap program keusahawanan untuk golongan mualaf dapat diteruskan bagi menyuntik semangat serta memberikan pendedahan kepada mereka yang ingin membina kehidupan melalui perniagaan.
“Dalam perniagaan, selagi kita mahu, kita boleh berusaha. Tidak semestinya perlu modal besar kerana kita boleh bermula dengan jumlah kecil, asalkan rajin dan berdisiplin,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


