
PELAJAR ANTARABANGSA PACU EKONOMI KOMUNITI
TELOK MAS 20 Oktober – Kehadiran pelajar antarabangsa yang menuntut di institusi pengajian tinggi di Melaka bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan sektor pendidikan tinggi negara, malah berpotensi merancakkan ekonomi komuniti setempat menerusi perbelanjaan harian mereka.
Pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS) Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, perbelanjaan pelajar antarabangsa meliputi pelbagai keperluan termasuk sewaan kediaman, makanan, pengangkutan dan barangan harian.
Katanya, perbelanjaan berkenaan berpotensi memberi limpahan manfaat kepada perniagaan kecil, pengusaha gerai makanan dan perusahaan tempatan yang menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi masyarakat.
Katanya, wang yang dibelanjakan dalam komuniti bukan sahaja memenuhi keperluan pelajar, malah turut menyokong aktiviti ekonomi setempat melalui urus niaga harian.
“Prinsipnya mudah, wang yang dibelanjakan dalam komuniti akan memberi manfaat kepada semua. Itulah sebabnya kami percaya bahawa membantu masyarakat setempat bukan sekadar tanggungjawab, malah satu pelaburan bersama,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih EMGS Bersama Komuniti Telok Mas, baru-baru ini.
Program itu turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Jelas Ahmad Shalimin, EMGS merupakan syarikat di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berperanan menyokong kemasukan serta kebajikan pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian di Malaysia.
Tambahnya, program itu merupakan komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kesejahteraan masyarakat akan terus diperkukuh bagi memastikan manfaat dapat dikongsi bersama komuniti setempat.
“Kejayaan sesebuah organisasi tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian perniagaan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira sumbangan kepada masyarakat yang menyokong operasinya.
“Saya turut menggalakkan sektor swasta, NGO dan individu supaya bersama-sama memperluas usaha kebajikan bagi memupuk semangat keprihatinan serta membentuk masyarakat yang lebih bersatu padu dan saling membantu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

