
MOZAC AKHIRI PENANTIAN HAMPIR TIGA DEKAD, RAIH JOHAN PIDATO KEBANGSAAN
AYER KEROH 20 Oktober – Pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Muhammad Izz Ikmal Akram bin Kamal Ramdi, muncul sebagai johan kategori Menengah Atas dalam Pertandingan Pidato Generasi Madani Petah Bicara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Kebangsaan 2026.
Wakil negeri Melaka itu berjaya mengharumkan nama negeri menerusi pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, dari 11 hingga 15 Oktober lalu.
Jurulatihnya, Cikgu Mohd Zulqarnain Abdol Rahman, berkata kejayaan itu menamatkan penantian MOZAC selama hampir tiga dekad untuk meraih kejuaraan dalam arena pidato kebangsaan.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kejayaan yang amat bermakna. Kali terakhir MOZAC mara ke peringkat kebangsaan adalah pada 1998 apabila memperoleh naib johan dalam arena pidato yang ketika itu dikenali sebagai Pidato Piala Diraja.
“Kejayaan yang dilakar bukan sahaja kejayaan seorang insan semata-mata, tetapi juga mencerminkan kemenjadian organisasi MOZAC dalam melahirkan pemidato yang cekal,” katanya.
Menurut Zulqarnain, perjalanan ke peringkat kebangsaan bukanlah mudah apabila peserta perlu melalui pelbagai peringkat saringan yang menguji kemampuan, ketahanan dan persediaan mereka untuk bersaing dengan peserta terbaik dari seluruh negara.
Muhammad Izz Ikmal dibimbing oleh guru penasihat, Puan Azniza Azmi, bersama dua jurulatih, Cikgu Mohd Zulqarnain Abdol Rahman dan Cikgu Hafizzi Saiman.
Kejayaan itu diharap dapat mendorong lebih ramai pelajar MOZAC mengembangkan potensi dalam bidang pidato, sekali gus melahirkan generasi yang berkeyakinan, berfikiran kritis dan berkemahiran menyampaikan hujah secara berkesan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

