INOVASI KAMPUNG DIGITAL DIIKTIRAF DUNIA, MELAKA RAIH DUA LAGI PENGIKTIRAFAN NEGARA

Masa Membaca:2 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 20 Oktober – Inisiatif Sistem Kampung Digital Negeri Melaka 2.0 meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi Digital Community Innovation Excellence Award pada GSTC International 2026 di Haikou, Hainan, China, pada 19 Oktober.

Pengiktirafan itu mengiktiraf usaha Kerajaan Negeri Melaka memanfaatkan teknologi geospatial bagi memperkasakan pendigitalan komuniti kampung, termasuk membangunkan sistem alamat digital yang lebih teratur, tepat dan berstruktur.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Salhah Salleh berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda pendigitalan serta memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

IMG 20261020 WA0002
SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh bergambar bersama wakil Kerajaan Negeri pada GISTC International 2026. Foto Facebook Kerajaan Negeri Melaka

Menurutnya, pelaksanaan Sistem Kampung Digital Negeri Melaka 2.0 turut menyokong pengukuhan tadbir urus menerusi penggunaan data dan maklumat geospatial bagi membantu perancangan pembangunan, penyelarasan serta proses membuat keputusan yang lebih berkesan.

β€œPelaksanaan inisiatif ini turut memberi manfaat kepada masyarakat kampung menerusi pengurusan maklumat lokasi dan alamat yang lebih sistematik, sekali gus menyokong pembangunan komuniti digital yang lebih tersusun,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Salhah menerima anugerah itu mewakili Kerajaan Negeri pada majlis anugerah yang berlangsung di Hilton Haikou, Hainan, China.

IMG 20261020 WA0001
MPAG menjadi agensi pertama di Negeri Melaka yang menerima Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA). Foto Facebook MPAG

Selain peringkat antarabangsa, Melaka turut meraih dua pengiktirafan peringkat kebangsaan menerusi tadbir urus kewangan dan prestasi pembayaran digital.

Pengiktirafan pertama diraih Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) apabila menjadi agensi pertama di Melaka menerima Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA) daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Pengiktirafan peringkat kebangsaan itu diterima pada Majlis Anugerah Pematuhan SAGA 2026 (MASS) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 19 Oktober.

Pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen MPAG dalam memperkukuh tadbir urus kewangan, meningkatkan ketelusan serta memastikan pengurusan perakaunan dilaksanakan secara sistematik dan berintegriti.

Selain itu, Kerajaan Negeri Melaka turut menerima Sijil Penghargaan dan Trofi Pengiktirafan atas pencapaian Prestasi Penggunaan Pembayaran Digital Cemerlang sempena kempen Cashless Boleh 5.0 pada 15 Oktober lalu.

Penghargaan yang disampaikan bersama oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu diterima semasa sesi kunjung hormat MOF kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.

Salhah berkata, pencapaian berkenaan menggambarkan usaha Kerajaan Negeri menyokong aspirasi negara ke arah pembentukan masyarakat tanpa tunai melalui peluasan ekosistem transaksi digital di jabatan dan agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Melaka.

Menurutnya, penggunaan pembayaran digital bukan sahaja mempercepat dan memudahkan urusan pembayaran lesen, cukai serta perkhidmatan awam kepada rakyat, malah membantu meningkatkan ketelusan transaksi, kecekapan pentadbiran dan pengurusan kewangan negeri.

β€œKetiga-tiga pencapaian ini memperlihatkan usaha Kerajaan Negeri Melaka dan agensi-agensinya dalam mempertingkat mutu pentadbiran, mengoptimumkan penggunaan teknologi serta memastikan pengurusan kewangan dan penyampaian perkhidmatan awam dilaksanakan secara cekap, telus dan berintegriti,” katanya.

Beliau berharap pengiktirafan di peringkat antarabangsa serta pencapaian dalam tadbir urus kewangan dan pembayaran digital itu menjadi pemangkin kepada peluasan inovasi, pemantapan pengurusan kewangan serta peningkatan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

814
Kongsi :
Previous post SENTUHAN KASIH EMGS RINGANKAN BEBAN 300 PENDUDUK TELOK MAS
Next post MOZAC AKHIRI PENANTIAN HAMPIR TIGA DEKAD, RAIH JOHAN PIDATO KEBANGSAAN