881 KES PENYAKIT BERKAITAN JEREBU DIREKODKAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 20 Oktober – Sebanyak 881 kes penyakit berkaitan jerebu direkodkan di Melaka pada Minggu Epidemiologi (ME) 41/2026, menurun 10.7 peratus berbanding 987 kes berbanding minggu sebelumnya.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, berkata, orang ramai bagaimanapun perlu terus berwaspada walaupun jumlah kes jangkitan saluran pernafasan atas dan asma menunjukkan penurunan.

“Walaupun kes jangkitan saluran pernafasan atas dan asma menunjukkan penurunan, orang ramai perlu terus berwaspada kerana keadaan jerebu boleh berubah mengikut kawasan dan berisiko menjejaskan kesihatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar bangunan, khususnya ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat, selain mengelakkan aktiviti fizikal lasak di kawasan terbuka.

“Golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit paru-paru dan jantung perlu lebih berhati-hati. Sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas atau batuk yang semakin teruk, mereka hendaklah segera mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hee Sem, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), jumlah berkenaan merangkumi tiga kategori penyakit yang dipantau menerusi empat fasiliti sentinel terpilih di negeri ini.

Katanya, kes jangkitan saluran pernafasan atas merekodkan sebanyak 737 kes, di mana ia menurun daripada 820 sebelum ini.

Manakala kes asma pula ujarnya, berkurangan daripada 155 kepada 131 kes bagi ME 41/2026.

“Bagaimanapun, kes konjunktivitis atau radang mata meningkat daripada 12 kepada 13 kes dalam tempoh sama,” katanya.

Setakat jam 2 petang semalam, beliau memaklumkan, tiga stesen pemantauan kualiti udara di Melaka mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu antara 101 hingga 200.

Sehubungan itu, Hee Sem menasihati orang ramai agar mengehadkan tempoh berada di luar bangunan dan menggunakan pelitup muka yang sesuai seperti N95 sekiranya perlu berada di luar ketika keadaan berjerebu.

“Individu yang mempunyai penyakit kronik juga perlu memastikan pengambilan ubat secara teratur serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas, batuk yang semakin teruk atau kesukaran bernafas,” katanya.

Beliau berkata, JKNM akan terus memantau situasi jerebu dan kesannya terhadap kesihatan penduduk serta memastikan fasiliti kesihatan, bekalan ubat-ubatan, dan petugas kesihatan sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang diperlukan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

766
Kongsi :
Previous post ORANG MACHAP JAYA PUAS HATI KHIDMAT ‘AH SEM’ BELA RAKYAT
Next post DARI PONDOK ZINK NURSAJIDAH BERTEDUH DI RUMAH SELESA HASIL KEMAKMURAN MELAKA