ORANG MACHAP JAYA PUAS HATI KHIDMAT ‘AH SEM’ BELA RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

MACHAP JAYA 20 Oktober – Sikap mudah didekati, prihatin terhadap kebajikan rakyat dan pantas menangani aduan tanpa mengira latar belakang politik menjadi antara faktor penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya berpuas hati dengan khidmat mantan wakil rakyat mereka, Datuk Ngwe Hee Sem.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati penduduk menghargai komitmen beliau menyantuni masyarakat di peringkat akar umbi, selain memastikan keperluan komuniti pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli mendapat perhatian sewajarnya.

Penduduk, Chin Yoon Wah, 60, berkata, Hee Sem atau mesra dengan panggilan ‘Ah Sem’ merupakan sebagai pemimpin yang adil dan sentiasa bersedia membantu masyarakat tanpa membezakan kecenderungan politik.

Menurutnya, keprihatinan itu dapat dilihat menerusi kesediaan beliau turun padang bagi mendengar aduan serta membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk.

“Bila kita telefon, dia akan sampai dan tidak mengira masa. Dia bantu semua orang, walaupun orang itu datang daripada parti yang berbeza.

“Apabila pemimpin bersikap terbuka dan sedia menolong semua pihak, sokongan daripada pelbagai bangsa akan datang dengan sendirinya kerana pengundi menghargai usaha yang dilakukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Seorang lagi penduduk, Tay Hoot Fatt, 57, berkata, tindakan pantas wakil rakyat itu menangani masalah infrastruktur setempat turut memberikan kesan positif kepada kehidupan masyarakat.

Menurutnya, keprihatinan terhadap kebajikan penduduk, khususnya golongan yang berdepan kesusahan dan memerlukan bantuan perubatan, turut menjadi antara perkara yang dihargai.

“Beliau seorang yang sangat konsisten. Jika ada orang susah dan tiada wang untuk makan atau mahu ke hospital, dia akan datang melihat keadaan mereka dan membantu sebaik mungkin.

“Bantuan juga diberikan secara adil kepada semua kaum. Malah, aduan mengenai masalah sistem perparitan dan longkang tersumbat di kawasan saya berjaya diselesaikan dalam tempoh lima hari sahaja,” katanya.

Keprihatinan terhadap kebajikan dan tindakan menangani masalah setempat itu memperlihatkan kepentingan perkhidmatan wakil rakyat yang responsif serta dekat dengan masyarakat.

Bagi penduduk, kesediaan pemimpin mendengar keluhan dan mengambil tindakan terhadap isu yang dibangkitkan menjadi antara ukuran penting dalam menilai keberkesanan khidmat wakil rakyat, selain usaha mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

625
Kongsi :
Previous post OPERASI MELAKA RIVER CRUISE BERPINDAH SEMENTARA KE JETI PENGKALAN RAMA BERMULA 2 NOVEMBER